Kerajaan komited tambah baik sistem TVET
Harits Asyraf Hasnan, Hafiz Marzukhi
Mac 21, 2018 11:43 MYT
Mac 21, 2018 11:43 MYT
Kementerian Pendidikan akan menambah baik sistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini dalam melahirkan modal insan yang memenuhi keperluan industri.
Timbalan Menterinya, Datuk P. Kamalanathan berkata fokus telah berbeza apabila keperluan tidak hanya untuk bidang akademik sebaliknya kini lebih kepada keperluan industri.
Menurutnya peluang pekerjaan dalam kalangan lepasan TVET terbuka luas apabila ada yang ditawarkan bekerja sebelum menamatkan pengajian.
"Hampir 70 hingga 75 peratus para pelajar lepasan vokasional telah mendapat kerja dalam masa tiga bulan. Malah, hampir 50 peratus pelajar-pelajar vokasional juga bekerja sebelum graduasi.
"Ini membuktikan peluang pekerjaan bagi pelajar vokasional dan teknikal lebih baik berbanding para pelajar lain.
"Perkara ini harus kita ketengahkan kepada masyarakat serta kita maklum ada satu atau dua kelonggaran dan kelonggaran ini yang akan kita ketatkan supaya Jawatankuasa TVET dapat memenuhi keperluan negara," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (BN-Baling) yang bertanyakan tindakan yang diambil kementerian untuk bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia dalam meningkatkan peluang pekerjaan kepada lepasan TVET.
Katanya, melaui kerjasama Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), Kementerian Sumber Manusia yang mengetuai Jawatankuasa TVET akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bersama empat lagi kementerian lain dalam menambah baik sistem pendidikan negara.
Lebih membanggakan kata beliau, para pelajar yang mengambil jurusan TVET meraih kejayaan dalam beberapa pertandingan melibatkan teknikal di peringkat antarabangsa.
Justeru, ibu bapa serta masyarakat perlu memberi peluang kepada anak-anak yang tidak berminat dalam akademik supaya menceburkan diri dalam bidang vokasional yang memberi peluang luas kepada mereka.