Kerajaan komited tambah baik landskap pelaburan negara - PM Anwar
Astro Awani
Mei 19, 2023 19:55 MYT
Mei 19, 2023 19:55 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan komited untuk menambah baik serta memperkasakan ekosistem serta landskap pelaburan negara bagi meningkat dan mengekalkan pelaburan langsung asing (FDI) dan domestik (DDI).
Jelas Perdana Menteri, antara langkah yang diumumkan termasuk menyelaras fungsi dan peranan koridor ekonomi wilayah berkaitan pelaburan menerusi penambahbaikan Agensi Penggalakan Pelaburan (IPA) negara.
"Langkah ini amat penting dalam memastikan pendekatan menyeluruh kerajaan secara lebih tersusun, cekap dan teratur untuk semua aktiviti penggalakan pelaburan negara.
"Ini juga akan memastikan Malaysia dapat mengoptimumkan sumber sedia ada bagi mengatasi isu pertindihan tanggungjawab di antara IPA sekali gus menjamin penyampaian perkhidmatan IPA yang lebih berkesan," katanya dalam kenyataan Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bil 1/2023 pada Jumaat.
Dalam pada itu kata Anwar, perkara itu dibincangkan semasa mesyuarat yang dipengerusikan olehnya dan diadakan buat pertama kali selepas diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari lepas.
MPN merupakan badan eksekutif tertinggi dalam merencanakan agenda berkaitan pelaburan sekali gus memastikan tadbir urus pelaburan negara diperkasakan.
Tambah Anwar, fungsi, sumber manusia, ciri organisasi dan dasar tadbir urus serta penyusunan semula ekosistem IPA negara akan dimulakan dengan pelan penyelarasan fungsi dan peranan IPA secara berfasa dalam usaha untuk menyelaras aktiviti penggalakan pelaburan dengan lebih berkesan dan meningkatkan keupayaan IPA dari segi keutamaan strategik.
"MPN juga bersetuju untuk memperkasakan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai agensi penggalakan pelaburan utama negara.
"Mesyuarat MPN turut membincangkan pemantauan projek-projek pelaburan khususnya hasil potensi pelaburan menerusi program Misi Penggalakan Perdagangan dan Pelaburan, di mana jumlah pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi bagi suku pertama 2023 adalah RM71.4 bilion, iaitu peningkatan 59.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
"Ia merangkumi 1,265 projek yang berpotensi menjana hampir 24,000 pekerjaan bagi rakyat Malaysia," jelasnya.
Kata Anwar, MPN dijadualkan untuk bersidang sekurang-kurangnya empat kali setahun agar setiap inisiatif dan program pelaburan dapat dipantau dan dinilai keberkesanannya.
"Kerajaan komited untuk memastikan setiap pelaburan yang diluluskan akan dilaksanakan, dan seterusnya akan memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negara," ujarnya.