Kerajaan komited sediakan rumah mampu milik kepada semua - Muhyiddin

Aizat Sharif
Julai 13, 2013 13:23 MYT
Kerajaan komited dalam penyediaan rumah mampu milik kepada semua penduduk di Kuala Besut.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapannya ketika perasmian peletakan batu asas projek pembinaan pangsapuri empat tingkat bagi penempatan semula mangsa air pasang besar di Kampung Lay Out Tok Saboh, di sini pada Sabtu berkata kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan kurang bernasib baik malah sentiasa berusaha untuk memastikan setiap rakyat mendapat kemudahan pembangunan prasarana yang sentiasa dimahukan.
"Komitmen kerajaan BN adalah satu juta unit perumahan mampu milik akan dibina dalam masa lima tahun dan ini adalah janji kita kepada semua rakyat. Selain itu, projek ini memberi pengertian cukup besar kepada masyarakat dan bagi kerajaan ia merupakan satu tanggungjawab dan pilihan yang akan diteruskan tanpa mengehadkan peluang kepada golongan tertentu sahaja," kata Muhyiddin.
Menurut beliau lagi, pilihan ini tidak boleh diabaikan kerana setiap rakyat mahu merasa lebih
selamat dan selesa, oleh hal demikian, menjadi tugas kerajaan untuk terus penuhi tuntutan itu.
"Komitmen akan sentiasa berterusan demi memastikan rakyat di Kuala Besut ini dapat menikmati segala pembangunan prasarana yang telah disediakan," kata beliau lagi.
Projek pembinaan pangsapuri tiga bilik sebanyak 72 unit itu dibina melibatkan kos lebih RM10 juta itu di kawasan seluas 720 kaki persegi di atas tanah milik kerajaan dan ianya akan dijadikan sebagai penempatan semula penduduk Kampung di Pengkalan Atap yang terjejas akibat kejadian hakisan tanah dan ombak besar.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, Menteri Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, Ahli Parlimen Besut merangkap Timbalan Pengerusi Pilihan Raya DUN Kuala Besut, Datuk Idris Jusoh dan calon BN untuk Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.
Sementara itu, Tan Sri Muhyiddin juga sempat meluangkan masa melawat Azizah N.Omar, balu kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, Dr A. Rahman Mokhtar di kediaman Allahyarham di Jalan Semarak, Kuala Besut.
Beliau meluangkan masa kira-kira 20 minit bertemu dengan balu Allahyarham diiringi Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dan calon DUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.
Beliau turut menyerahkan sumbangan ikhlas kepada balu Allahyarham.
#BN #Kuala Besut #Muhyiddin Yassin #PAS #perumahan #PRK