Kerajaan komited perkasa Ekonomi Perak, tangani cabaran peningkatan populasi menua - Amir Hamzah

Bernama
Disember 11, 2024 20:15 MYT
Kerajaan komited memperkasakan Ekonomi Perak (Silver Economy) dalam menghadapi cabaran populasi lanjut usia yang semakin meningkat, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Kerajaan komited memperkasakan Ekonomi Perak (Silver Economy) dalam menghadapi cabaran populasi lanjut usia yang semakin meningkat, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Ringkasan AI
  • Kerajaan komited memperkasakan Ekonomi Perak untuk menghadapi cabaran populasi warga emas yang meningkat, termasuk pelaburan dalam infrastruktur dan teknologi.
  • Populasi warga emas di Malaysia dijangka mencapai 15% menjelang 2030, menjadikan Malaysia negara menua dengan pelbagai cabaran ekonomi, sosial, dan kesihatan.
  • Kerajaan akan bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk merancakkan Ekonomi Perak, menyokong kesejahteraan pesara, dan memastikan mereka kekal aktif dan tidak tercicir.

Beliau berkata Malaysia harus mengutamakan pelaburan dalam Ekonomi Perak untuk membina infrastruktur yang diperlukan dan mendorong inovasi dalam teknologi bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin menua.
"Sejajar dengan aspirasi MADANI, kami berhasrat untuk meneraju pertumbuhan ekonomi yang bukan sahaja mampan, tetapi inklusif, produktif dan fleksibel, tanpa menyisihkan mana-mana pihak, terutamanya para pesara," katanya pada Majlis Anugerah MyPesara 2024, di sini, hari ini.
Teks ucapan Amir Hamzah dibacakan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.
Ekonomi Perak merujuk kepada aktiviti ekonomi dan peluang pasaran yang berkaitan dengan populasi warga tua yang semakin meningkat.
Beliau berkata berdasarkan data Jabatan Perangkaan, komposisi populasi Malaysia yang berumur 60 tahun ke atas dan 65 tahun ke atas terus meningkat dari tahun ke tahun.
Pada 2024, komposisi penduduk berumur 60 tahun ke atas meningkat kepada 11.6 peratus berbanding 11.3 peratus pada 2023.
Sementara itu, bagi penduduk berumur 65 tahun ke atas, komposisinya meningkat kepada 7.7 peratus berbanding 7.4 peratus pada 2023.
"Dalam tempoh kurang tujuh tahun, iaitu 2030, Malaysia dijangka mencapai status negara menua apabila 15 peratus jumlah penduduk ialah warga emas.
"Secara umumnya negara menua berdepan dengan pelbagai cabaran yang meliputi kesihatan, ekonomi, sosial, psiko-spiritual dan juga persekitaran.
"Peningkatan populasi warga emas boleh membentuk segmen yang besar dalam ekonomi, dan sewajarnya diberikan tumpuan yang menyeluruh," katanya.
Amir Hamzah berkata di negara ini, potensi warga emas berfungsi sebagai salah satu pemacu ekonomi masih belum diteroka sepenuhnya.
"Kita sedia maklum bahawa warga emas sangat terdedah kepada risiko kemiskinan disebabkan oleh tiada pendapatan tetap selepas bersara," katanya.
Justeru, beliau berkata, kerajaan akan bekerjasama dengan agensi dan syarikat berkaitan kerajaan, pihak swasta, pemain industri, badan bukan kerajaan dan juga persatuan untuk merancakkan Ekonomi Perak sekali gus membantu merangka pelan tindakan komprehensif bagi mempelopori kaedah terbaik mengendalikan peralihan kepada negara menua pada masa akan datang.
"Insya-Allah, dengan iltizam yang tinggi dan kerjasama utuh daripada pelbagai pihak, kami akan terus menyokong kesejahteraan para pesara bukan sahaja dari aspek sosial, tetapi juga dari segi kelangsungan hidup dan pertumbuhan ekonomi semasa," katanya.
Dalam pada itu, Amir Hamzah turut menyeru semua pihak, termasuk kerajaan, agensi kerajaan, sektor swasta dan juga masyarakat umum, agar terus menyokong dan mendukung golongan warga emas bagi memastikan golongan pesara terus kekal aktif.
"Adalah penting untuk kita semua memastikan tidak ada mana-mana lapisan masyarakat yang tercicir, terutamanya golongan tua yang memerlukan perhatian sewajarnya," katanya.
-- BERNAMA
#ekonomi Perak #Silver Economy #populasi lanjut usia #populasi menua
;