Kerajaan komited mendepani isu buruh paksa - Saravanan

Eton Khir
Mac 24, 2022 13:24 MYT
Malaysia merupakan negara kelima di Asia Pasifik dan negara kedua di Asia Tenggara yang telah meratifikasikan protokol ini. - Foto HRD Corp
KUALA LUMPUR: Kerajaan komited mendepani isu buruh paksa dengan melaksanakan ratifikasi Protokol 29 kepada Konvensyen Buruh Paksa oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Ratifikasi ini juga merupakan pencapaian yang signifikan dalam sejarah pembangunan sumber manusia untuk negara.
Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, usaha itu sebagai sebahagian daripada langkah kerajaan menangani isu berkenaan dan menunjukkan komitmennya di peringkat antarabangsa.
"Saya cuma harap selepas ini penguatkuasaan akan lebih ketat dari segi tempat tinggal, penginapan, pembayaran gaji dan tidak melibatkan hutang yang tinggi kepada pekerja.
"Ini kerana, jika hanya ada undang-undang dan akta semata-mata namun ianya akan menjadi tidak berguna sekiranya pihak majikan tidak mematuhinya.
"Maka, kejayaan ini sebenarnya bergantung kepada penglibatan semua pihak kerajaan, penguatkuasa dan juga pihak majikan," katanya dalam satu sesi media secara maya pada Selasa.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman turut menyambut baik usaha berkenaan, meskipun isu buruh paksa bukanlah berada di tahap yang membimbangkan di negara ini, namun kerajaan tetap memandang serius isu tersebut.
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan yang telah konsisten mendepani soal kebajikan pekerja sama ada tempatan atau asing di negara ini.
"Di samping itu, beliau turut mengambil langkah bagi memastikan semua bentuk faedah telah diberikan kepada semua pekerja dan mereka dilayan dengan adil dan profesional," katanya.
Pada masa sama, Naib Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Datuk Nathan K Suppiah berkata, ia merupakan satu garis panduan dan dasar yang baik untuk pekerja buruh di negara ini.
"Merupakan salah satu inisiatif yang baik khususnya ketika mendepani waktu yang sukar ketika ini.
Selain itu, dapat kita lihat, kebanyakannya syarikat eksport menghadapi masalah dengan negara pengimport yang memerlukan Malaysia mengekalkan kerja buruh yang berkualiti,” katanya.
Proses deposit ratifikasi itu telah dijalankan di ibu pejabat Pertubuhan Buruh Antarabangsa di Geneva. Ia disaksikan oleh Ketua Pengarah ILO, Guy Ryder; Pengarah Serantau ILO, Chihoko Asada Miyakawa; dan Pemangku Setiausaha Agung Kementerian Sumber Manusia, Datuk Muhd Khair Razman.
Malaysia merupakan negara kelima di Asia Pasifik dan negara kedua di Asia Tenggara yang telah meratifikasikan protokol ini.
#FMM #Saravanan #Malaysia
;