Kerajaan komited kurangkan kebergantungan sumber bekalan makanan import
Bernama
Julai 22, 2023 18:15 MYT
Julai 22, 2023 18:15 MYT
TANAH MERAH: Kerajaan terus komited dalam mengurangkan kebergantungan sumber bekalan makanan yang diimport bagi memastikan ia seimbang dengan pengeluaran atau eksport negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata usaha itu akan dilakukan secara berterusan selari dengan objektif Dasar Agromakanan Negara 2021-2023 (DAN 2.0), iaitu meningkatkan pertumbuhan pendapatan dan kualiti hidup yang lebih baik bagi pengeluar makanan.
"Alhamdulillah, bekalan telur di negara kita makin pulih cuma bekalan beras kita perlu berusaha mengatasinya sekiranya negara pengeksport beras seperti India dan Vietnam mengurangkan kadar eksport untuk menampung keperluan makanan rakyat di negara mereka.
"Sebab itu, kerajaan menyediakan infrastruktur seperti sistem pengairan dan jalan di kawasan sawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sebanyak RM3 bilion bagi menjayakan projek penanaman padi lima musim dalam dua tahun berskala besar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Projek Kelompok Tanaman Jagung di Kampung Paloh, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Kelantan Norbahani Zakaria.
Mengenai program tersebut, Mohamad berkata projek tanaman jagung di Kampung Paloh yang berkeluasan 32 hektar telah bermula pada 2007 melalui penubuhan koperasi yang turut melibatkan tanaman lain seperti kacang panjang, labu dan pelbagai jenis ubi.
"Projek kelompok ini mendapat bimbingan sepenuhnya daripada Jabatan Pertanian negeri dan menerima peruntukan berjumlah RM201,245 sejak 2014 meliputi insentif penyediaan kawasan, sistem pengairan dan input pertanian.
"Selain itu, Jabatan Pertanian turut melaksanakan pemantauan termasuk dari segi khidmat nasihat berkaitan penyakit dan perosak," katanya.
Sementara itu, penanam jagung Noraini Mat Nor, 54, berkata langkah kerajaan mengurangkan kebergantungan import bekalan makanan wajar dilakukan untuk memberi peluang pekerjaan kepada rakyat sekali gus meningkatkan ekonomi mereka.
"Saya bersyukur dengan usaha dilakukan kerajaan kerana ia memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat terutama golongan muda dengan menceburkan diri dalam bidang pertanian seperti tanaman jagung dan tembikai," katanya.
Pesawah, Rosli Abd Ghani, 62, pula berkata kerajaan juga perlu memberi tumpuan dalam memastikan sistem pengairan dan kemudahan infrastruktur di kawasan sawah di seluruh negara sentiasa ditambah baik dan diselenggara.
-- BERNAMA
#bekalan makanan import
#Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
#Mohamad Sabu
#Dasar Agromakanan Negara