Kerajaan komited kurangkan kebergantungan jagung bijian import
Bernama
Ogos 22, 2023 05:00 MYT
Ogos 22, 2023 05:00 MYT
PADANG BESAR: Malysia mampu mengurangkan kebergantungan bekalan import jagung bijian dari luar negara sekiranya dapat mencapai 50 peratus pengeluaran domestik dalam masa lima tahun akan datang, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata negara masih lagi bergantung hampir sepenuhnya kepada import jagung bijian dan kerajaan menerusi kementerian berkenaan sedang berusaha untuk meningkatkan hasil pengeluaran domestk dengan mengukuhkan program pembangunan komoditi itu.
Menurutnya, jagung bijian adalah sumber makanan utama kepada ayam atau daging dan kenaikan harga ternakan itu sewaktu pandemik COVID-19 pada satu ketika dahulu disebabkan harga dedak yang meningkat ekoran sumber jagung dan kacang soya yang dimport dari negara luar.
Justeru, katanya, kerajaan telah mengambil beberapa langkah namun ia memerlukan sokongan daripada semua pihak termasuk swasta.
" Dalam meningkatkan pengeluaran tempatan, kerajaan telah memberi pelbagai bentuk insentif bagi menjayakan usaha ini agar ia dapat membantu mengurangkan pengaliran keluar wang negara bagi tujuan import bekalan," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke tapak projek tanaman jagung bijian di Lembah Chuping, di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Perlis, Razali Saad, Pengarah Bahagian Pembangunan Industri Tanaman Jabatan Pertanian, Christopher John Biai dan Pengarah Pertanian negeri, Hafizuddin Othman.
Mohamad berkata selain Perlis, syarikat peneraju tanaman jagung bijian, Green World Genetics Sdn Bhd., sedang berusaha untuk memperluaskan tanam tersebut ke Sabah.
Katanya, pada tahun ini, sejumlah RM13 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi pembangunan industri jagung bijian dengan membabitkan kajian, penyelidikan, pemutuan kualiti, perolehan jentera dan penanaman.
Dalam perkembangan lain, Mohamad, berkata Malaysia berpotensi menjadi negara pengeksport beras suatu hari nanti jika pesawah sanggup mengusahakan tanaman padi itu secara sepenuh masa.
"Kita mampu eksport beras jika hasil purata pengeluaran padi negara dapat bertambah daripada empat tan kepada sekitar 10 tan bagi setiap hektar,"katanya.
Beliau berkata keyakinan itu diletakkan berdasarkan kejayaan Projek Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Mini Sekinchan Lembaga Pertnian Muda (MADA) di Kampung Lat 1000 di Arau.
"Menerusi hasil tuaian pertama di Kampung Lat 1000, kita berjaya hasilkan sebanyak 10.44 tan bagi setiap hektar dan jumlah tersebut hampir sama dengan hasil di Sekinchan, Selangor iaitu sekitar 12 tan bagi setiap hektar,"katanya.
Katanya, selain itu juga penggunaan mesin padi bersaiz lebih kecil dan ringgan di Kampung Lat 1000 dapat mengurangkan peratusan keciciran padi kepada hanya dua peratus sahaja berbanding 10 peratus sebelum ini.
Semalam, Mohamad menghadiri Program Santai Agro Madani Penuaian Padi SMART SBB Mini Sekinchan MADA Kampung Lat 1000 dan menyaksikan penuaian hasil pertama projek itu.
-- BERNAMA