Kerajaan komited kualiti penyampaian kehakiman berada pada tahap terbaik

Bernama
Mac 14, 2023 15:40 MYT
Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra (duduk, empat kiri) bersama isteri Cik Puan Sofie Louise Johansson (duduk empat, kanan) bergambar pada Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Kota Bharu di Bandar Baru Tunjung hari ini. - BERNAMA
KOTA BHARU: Kerajaan komited memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan kehakiman berada pada tahap terbaik dan setanding dengan badan kehakiman negara maju lain.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh berkata sebagai organ pentadbiran negara yang bertanggungjawab mendukung prinsip kedaulatan undang-undang, badan kehakiman sentiasa memastikan akses kepada keadilan adalah tersedia pada setiap masa.
"Saya percaya infrastruktur fizikal mahkamah yang kondusif antara faktor yang memacu kualiti penyampaian perkhidmatan kehakiman agar sentiasa berada di peringkat terbaik dan setanding dengan badan kehakiman negara maju lain," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika berucap pada Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Kota Bharu di sini hari ini.
Terdahulu, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fa-iz Petra ibni Almarhum Sultan Ismail Petra berkenan berangkat merasmikan kompleks berkenaan yang turut dihadiri Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Ramkarpal berkata keseluruhan pembangunan dan pembinaan Kompleks Mahkamah Kota Bharu itu menelan belanja RM94.4 juta di kawasan seluas 2.72 hektar, serta dilengkapi dengan 13 bilik bicara yang merangkumi tiga bilik bicara Mahkamah Tinggi, lima bilik bicara Mahkamah Sesyen dan lima bilik bicara Mahkamah Majistret.
"Bangunan ini turut dilengkapi dengan bilik sokongan seperti kamar hakim, bilik persidangan, bilik mesyuarat, perpustakaan, kafeteria dan surau.
"Malah, operasi mahkamah di kompleks ini menggunakan sistem teknologi maklumat terkini termasuk Sistem Rakaman dan Suara ke Teks (RVT) serta dilengkapi dengan Internet jalur lebar berkelajuan tinggi bagi penggunaan pegawai serta kakitangan mahkamah," katanya.
-- BERNAMA
#Tengku Maimun Tuan Mat #Badan Kehakiman #Mahkamah Kota Bharu #Tengku Muhammad Fa-iz Petra
;