Kerajaan komited jaga keamanan di Laut China Selatan - Anifah

Hilal Azmi
Mac 24, 2016 19:05 MYT
ANIFAH: Malaysia, serta negara ASEAN yang lain, tidak mengiktiraf tuntutan China berdasarkan Nine-Dash Line kerana ia tidak selaras dengan undang-undang antarabangsa termasuklah UNCLOS 1982. -Gambar fail
Kerajaan sentiasa memberi perhatian khusus dalam isu pertikaian di Laut China Selatan.
Menurut Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, tindakan sewajarnya termasuk rondaan, pengawasan dan penguatkuasaan sentiasa diambil bagi memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.
Beliau berkata, pendirian Malaysia berhubung tuntutan bertindih di Laut China Selatan adalah jelas dan konsisten.
"Semua tuntutan dan penyelesaiannya hendaklah berdasarkan undang-undang antarabangsa termasuklah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 atau UNCLOS 1982.
"Malaysia, serta negara ASEAN yang lain, tidak mengiktiraf tuntutan China berdasarkan Nine-Dash Line kerana ia tidak selaras dengan undang-undang antarabangsa termasuklah UNCLOS 1982," katanya ketika menjawab pertanyaan oleh Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abd Rahim Bakri di Parlimen hari ini.
Katanya lagi, ketika ini negara ASEAN dan China sedang berunding berhubung Kod Tatalaku Di Laut China Selatan dalam usaha membina dan meningkatkan kesalingpercayaan serta menangani sebarang perbezaan secara aman.
"Berhubung dengan isu Beting Patinggi Ali, saya ingin menegaskan bahawa Malaysia tidak pernah menganggap kawasan Beting Patinggi Ali sebagai kawasan yang dipertikaikan atau kawasan di mana wujud tuntutan bertindih di antara Malaysia dengan mana-mana negara," tambahnya
#Anifah Aman #Laut China Selatan #PBB #pertikaian #tuntutan bertindih
;