Kerajaan komited jadikan Bumiputera bangsa usahawan - PM
Harits Asyraf Hasnan
Ogos 13, 2020 11:24 MYT
Ogos 13, 2020 11:24 MYT
Bumiputera di negara ini akan terus diberi lonjakan berganda di pelbagai peringkat, dalam usaha menjadikan golongan itu sebagai bangsa usahawan.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan komited memupuk budaya keusahawanan secara bersepadu melalui peranan pelbagai agensi.
"Bumiputera akan diberi lonjakan berganda menerusi pembentukan budaya keusahawanan di pelbagai peringkat untuk menjadikan Bumiputera sebagai bangsa usahawan.
"Budaya keusahawanan ini akan terus dipupuk secara bersepadu melalui peranan pelbagai agensi seperti Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan TEKUN Nasional (TEKUN) serta agensi-agensi mandat Bumiputera," katanya. di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, menurut Muhyiddin, lonjakan berganda dalam pendidikan dan modal insan juga akan terus diperhebat, khususnya dalam kalangan keluarga B40 dan M40 Bumiputera.
"Pemberian biasiswa, program pemupukan dan pembangunan, serta bimbingan kepada modal insan Bumiputera akan diperluas kepada semua peringkat.
"Beberapa kaedah lain seperti, dasar Carve Out and Compete, KPI atau sasaran pencapaian Bumiputera bagi setiap Kementerian, Jabatan, Agensi dan GLC serta perolehan ekuiti dan aset strategik juga akan dimantapkan," tambahnya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa (PH-Parit Buntar) yang bertanya langkah-langkah kerajaan dalam meningkatkan ekonomi Bumiputera, khususnya yang semakin ramai menganggur dan hilang pekerjaan, tanpa menyalahkan bangsa lain.
Jelas Muhyiddin lagi, kerajaan komited menjayakan Agenda Bumiputera melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-12 yang akan dibentangkan pada awal tahun hadapan.
Beliau pada masa sama memberi keyakinan bahawa usaha tersebut dapat dijayakan sekali gus meningkatkan taraf sosio-ekonomi Bumiputera tanpa menjejaskan peluang dan hak kaum-kaum lain untuk menikmati kemakmuran negara secara bersama.
Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk), Muhyiddin akui pegangan ekuiti dalam kalangan Bumiputera pada ketika ini adalah rendah iaitu hanya 16 peratus.
"Saya akui ia semakin merosot, semakin membimbangkan. Apa yang penting adalah apakah usaha yang akan dibuat. Yang penting komitmen kita adalah lebih daripada dahulu," ujarnya.
#Agenda Bumiputera
#B40
#bangsa usahawan
#budaya keusahawanan
#Bumiputera
#Dewan Rakyat
#ekonomi Bumiputera
#ekuiti
#GLC
#kaum
#lonjakan berganda
#M40
#MARA
#modal insan
#Muhyiddin Yassin
#Mujahid Yusof Rawa
#pendidikan
#pengangguran
#TEKUN
#Teraju