Kerajaan komited capai 150,000 suntikan vaksin sehari hujung Jun - Khairy

Hasimi Muhamad
Mei 31, 2021 16:45 MYT
Khairy berkata sehingga kini kadar vaksinasi di seluruh negara sudah mencecah 100,000 dos sehari - Gambar Astro AWANI
PUTRAJAYA: Kerajaan komited untuk mencapai sasaran 150,000 dos suntikan vaksin COVID-19 sehari selewat-lewatnya pada hujung Jun ini.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata sehingga kini kadar vaksinasi di seluruh negara sudah mencecah 100,000 dos sehari.
"Bermula 27 Mei lalu sebanyak 107,340 dos vaksin sehari. Saya percaya selepas hujung minggu ini yang mana angka tersebut agak menurun, ia akan kembali konsisten dan kita akan berusaha mencapai kadar suntikan 150,000 sehari menjelang akhir bulan Jun ini atau lebih awal lagi.
"Sementara itu, inisiatif sukarela AstraZeneca masih dijalankan dan setakat semalam kita telah memvaksinasi 213, 232 individu melalui inisiatif pelawaan opt in AstraZeneca," katanya dalam sidang media mingguan di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
BACA: Vaksin COVID-19: Kerajaan setuju laksana program trak bergerak
Dalam perkembangan sama, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, Malaysia akan menerima sebanyak 444,600 dos lagi vaksin Pfizer-BioNTech pada minggu ini.
Selain itu, katanya bagi vaksin Sinovac pula, sebanyak 668,520 dos yang dibotolkan dengan kelulusan Lot Release akan diterima pada minggu ini.
Mengenai vaksin lain, Khairy berkata vaksin CanSino sedang dalam penilaian kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Katanya, pihak CanSino telah memberikan jawapan dan semua maklumat yang diperlukan pada minggu lalu, dan pihaknya akan meminta NPRA mempercepatkan kelulusan vaksin berkenaan.
#Khairy Jamaluddin #Program vaksinasi Malaysia #Status vaksin Malaysia #Covid-19 Malaysia #Vaksin lulus NPRA #sasaran #suntikan vaksin harian
;