Kerajaan komited bantu pekebun kecil lada - Shamsul Iskandar

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 16, 2019 13:26 MYT
Pelbagai inisiatif sedang dan bakal dilaksanakan melibatkan peruntukan berjumlah RM10 juta. - Gambar hiasan/BERNAMA
Kerajaan komited membantu para pekebun kecil lada dengan menyalurkan peruntukan untuk pelbagai bantuan di bawah Program Pembangunan Kawasan Penanaman Lada 2019.
Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata pelbagai inisiatif sedang dan bakal dilaksanakan melibatkan peruntukan berjumlah RM10 juta.
"Kementerian Industri Utama telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk membantu para pekebun kecil yang terkesan oleh penurunan harga lada.
"Inisiatif tersebut antara lain adalah Skim Tanaman Baharu Lada, Skim Peningkatan Kualiti Peringkat Ladang dan Skim Pembangunan Usahawan," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Datuk Robert Lawson Chuat (PBB-Betong) yang bertanyakan apakah perancangan kementerian bagi membantu pekebun kecil lada di Sarawak yang telah lama terjejas akibat harga komoditi lada yang sangat rendah dan inisiatif memperkenalkan jaringan sosial bagi membantu mereka.
Bagaimanapun, Shamsul Iskandar berkata bagi pelaksanaan jaringan sosial, inisiatif tersebut dalam pertimbangan dan masih diperhalusi oleh kementeriannya.
Namun pihaknya telah melaksanakan beberapa strategi yang secara tidak langsung dapat membantu dalam pengawalan harga lada.
Ia termasuk mempertingkat dan memperkasakan industri hiliran lada, memantapkan Program Pengeluaran Lada Premium Peringkat Ladang, meningkatkan penggunaan lada dalam dan luar negara, mengeksport lada ke pasaran istimewa (niche market) dan mempergiatkan program R&D Lada untuk mempelbagaikan produk di pasaran antarabangsa.
#Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin #pekebun kecil lada #Skim Pembangunan Usahawan #Skim Tanaman Baharu Lada #Timbalan Menteri Industri Utama