Kerajaan komited bangunkan Kampong Bharu - Annuar Musa

Hasimi Muhamad
November 14, 2020 15:06 MYT
Prasarana di Kampung Bharu akan dipertingkatkan dan dibangunkan secara berperingkat-peringkat, kata Annuar Musa. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan komited untuk meneruskan agenda memajukan dan membangunkan Kampong Bharu, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.
Jelas beliau, kerajaan dalam perancangan untuk memodenkan kawasan tersebut menerusi beberapa kaedah yang diperbaharui.
Katanya, menerusi perancangan tersebut, prasarana di Kampong Bharu akan dipertingkatkan dan dibangunkan secara berperingkat-peringkat serta diselaraskan untuk tempoh 20 tahun akan datang.
"Komitmen kerajaan adalah untuk membangunkan Kampong Bharu setarat dengan kawasan-kawasan sekitarnya.
“Untuk membolehkan pembangunan itu dilakukan tanpa ada banyak masalah, ada beberapa perundangan yang perlu diberikan perhatian.
“Kita akan mengemukakan suatu akta untuk menggantikan undang-undang (sedia ada) supaya ianya lebih bersesuaian dengan keadaan semasa untuk masa depan Kampong Bharu,” katanya, di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan sumbangan kepada mangsa banjir kilat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, kerajaan ketika ini dalam fasa terakhir untuk menyiapkan Rang Undang-Undang berkaitan dan ia akan diteliti oleh Jabatan Peguam Negara.
"Akta hari ini akan memudahkan beberapa halangan perundangan yang telah kita kenalpasti yang menyebabkan pembangunan, nilai tanah dan daya saing aset di Kampong Bharu.
"Jadi, perkara itu telah diambil tindakan," katanya lagi.
Annuar menambah pembangunan di Kampong Bharu akan diselaraskan dengan Pelan Induk Struktur Kuala Lumpur 2020/2040, di mana ia dijangka diwartakan pada awal tahun depan.
"Secara umumnya dalam pelan struktur itu, pertama sekali ia tidak mendiskriminasikan Kampong Bharu, dan Kampong Bharu akan dibangunkan setaraf dengan pembangunan-pembangunan di sekitarnya," ujar beliau.
Terdahulu, sebanyak RM189,200 sumbangan diberikan kepada 76 keluarga mangsa banjir kilat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang terjejas akibat bencana alam itu pada September lalu.
Daripada jumlah tersebut, seramai 72 adalah isi rumah berkeluarga yang menerima bantuan sebanyak RM2,500, sementara empat lagi adalah kategori bujang sebanyak RM2,300.
Annuar berkata, keseluruhan sumbangan wang tunai tersebut merupakan sumbangan peribadi Yang di-Pertuan Agong.
#Annuar Musa #Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur #Kampong Bharu #pembangunan
;