Kerajaan kenal pasti mekanisme baharu kesan peniaga elak GST

Bernama
November 9, 2016 23:22 MYT
Kerajaan akan menjalankan kajian terhadap barangan yang dikenakan GST dan kadar sifar bagi memenuhi permintaan dan kehendak rakyat di negara ini. -Gambar fail
Kerajaan sedang mengenal pasti satu mekanisme baharu untuk mengesan peniaga yang cuba mengelak daripada membayar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani berkata mekanisme itu antara lain menghubungkan mesin daftar tunai yang digunakan peniaga dengan sistem Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
"Sistem di mana kita boleh meletakkan dongle (peranti) di dalam cash register (mesin daftar tunai) supaya setiap kali peniaga masukkan tunai dalam mesin itu, ia akan dihubungkan dengan sistem JKDM.
"Tetapi kita mungkin tidak boleh buat kepada semua peniaga kerana ia sangat mahal, tapi kita buat secara spesifik, ini yang kita sedang usahakan," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat di sini, pada Rabu.
Beliau menjawab pertanyaan Ng Wei Aik (DAP-Tanjong) yang bertanya bagaimana kerajaan menangani penyalahgunaan invois oleh peniaga untuk melarikan diri daripada membayar GST.
Abdul Ghani berkata perkara itu antara masalah yang dihadapi JKDM di mana peniaga akan menggunakan pendekatan bertanya kepada pengguna sama ada mahu dikenakan GST atau tidak.
"Apabila pengguna memilih untuk tidak dikenakan GST, peniaga tidak akan mengeluarkan invois dan transaksi itu tidak direkodkan untuk diisytihar kepada JKDM.
"Jadi, apa yang kita mahu ialah untuk jangka panjang untuk pastikan bahawa tidak ada mana-mana peniaga menggunakan cara ini dan jika ada pengguna perlu laporkan kepada pihak berkuasa," katanya.
Dalam pada itu, Johari berkata kerajaan akan menjalankan kajian terhadap barangan yang dikenakan GST dan kadar sifar bagi memenuhi permintaan dan kehendak rakyat di negara ini.
"Pada masa ini, bilangan atau jenis barang dan perkhidmatan yang tidak dikenakan GST tidak akan berubah tetapi kajian terus dijalankan untuk menilai sama ada terdapat keperluan untuk tambah atau kurangkan barang atau perkhidmatan yang tidak dikenakan GST," katanya. --BERNAMA
#GST #JKDM #JOHARI ABDUL GHANI #peniaga elak cukai