Kerajaan kemas kini had pendapatan setiap kumpulan isi rumah, jangka terbit laporan pertengahan 2023

Bernama
Mac 16, 2023 05:40 MYT
Had pendapatan bagi setiap kumpulan pendapatan akan dikemas kini melalui kajian ini yang dijangka diterbitkan pada pertengahan 2023. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) sedang memuktamadkan dapatan Survei Pendapatan, Perbelanjaan dan Kemudahan Asas (HIES BA) 2022 melibatkan 92,000 isi rumah yang dijalankan bermula dari Januari 2022 hingga Disember 2022.
Menurut Kementerian Ekonomi, had pendapatan bagi setiap kumpulan pendapatan akan dikemas kini melalui kajian ini yang dijangka diterbitkan pada pertengahan 2023.
DoSM pada tahun 2020 telah menjalankan kajian menggunakan simulasi untuk mengambil kira impak pandemik COVID-19 kepada pendapatan isi rumah.
“Berdasarkan kajian tersebut, DoSM menganggarkan 20 peratus isi rumah M40 telah beralih di bawah had pendapatan B40 dan 12.8 peratus isi rumah T20 beralih ke had pendapatan M40,” kata Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, pada Khamis.
Kementerian tersebut berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) yang ingin tahu data keluarga yang jatuh dari T20 ke M40, M40 ke B40 dan B40 ke B60 dan langkah-langkah kerajaan menangani isu berkenaan khususnya dalam menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.
Menurutnya, bagi menangani isu kos sara hidup, kerajaan telah merangka inisiatif jangka pendek dan sederhana yang telah, sedang dan akan diperkenalkan di samping inisiatif jangka panjang.
“Kerajaan melalui Kementerian Ekonomi juga sedang melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang akan menumpukan kepada pengupayaan golongan B40 termasuk miskin dan miskin tegar di seluruh negara supaya meningkatkan potensi pendapatan secara mampan.
“Program IPR akan melibatkan tiga inisiatif permulaan iaitu pertanian kontrak, perniagaan makanan dan perkhidmatan pembersihan premis awam,” kata kementerian itu.
Kementerian Ekonomi berkata program tersebut menyasarkan peserta meraih pendapatan antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan dalam tempoh pemantauan 24 bulan.
-- BERNAMA
#Kementerian Ekonomi #DoSM #Kajian #kemas kini
;