Kerajaan Kelantan rancang bina telaga tiub tangani masalah air
Bernama
Mei 11, 2023 17:51 MYT
Mei 11, 2023 17:51 MYT
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan membina telaga tiub di kawasan yang mengalami masalah bekalan air bersih kritikal di negeri ini susulan musim panas yang melanda.
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata kerajaan negeri pada masa ini sedang mendapatkan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuk pertubuhan Muslim Care bagi melaksanakan usaha itu.
"Kita telah berbincang dengan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan Exco untuk menggerakkan sistem telaga tiub. Kita akan cari pihak tertentu seperti NGO Muslim Care Malaysia (Muslim Care) kerana pertubuhan ini banyak membantu memberi khidmat di Sudan, Afghanistan dan sebagainya.
"Kita akan bincang dengannya bagaimana cara untuk membantu membina telaga tiub terutama di kawasan yang mengalami masalah bekalan air kritikal pada musim panas ini. Kita memang memantau bekalan air di negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Karnival Bio Kelantan 2023 di Kompleks Islam Darulnaim di Lundang di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.
Selain itu, Ahmad menasihatkan rakyat supaya sentiasa berjaga-jaga berikutan cuaca panas yang melanda kini seperti mengurangkan aktiviti luar dan tidak melakukan pembakaran terbuka.
Katanya, banyak pihak telah mengeluarkan pelbagai nasihat berhubung fenomena kemarau dan berharap rakyat dapat mematuhi semua peringatan itu bagi mengelak sesuatu yang tidak diingini berlaku.
Dalam pada itu beliau turut menasihatkan petani negeri ini agar merancang jadual kerja harian bagi mengelak terdedah kepada cuaca panas dalam tempoh yang lama.
Pihak sekolah juga dinasihatkan menjaga keselamatan pelajar masing-masing dengan mengambil langkah bersesuaian seperti mengingatkan pelajar untuk minum air secukupnya.
-- BERNAMA