Kerajaan Kelantan kesal jadi negeri terendah penerimaan dos penggalak, PICKids

Vivi Sumanti
Mac 20, 2022 18:30 MYT
Ramai kalangan ibu bapa tidak membawa anak-anak mereka untuk mendapatkan suntikan walaupun janji temu sudah dibuat. - Gambar fail
MACHANG: Kerajaan Kelantan melahirkan kekesalan berikutan sambutan rendah rakyatnya terhadap dos penggalak dan Program Imunisasi COVID Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin berkata, peratusan rakyat sama ada untuk suntikan dos penggalak mahupun suntikan vaksin untuk kanak-kanak berusia dari lima hingga 11 tahun amat rendah.
"Rakyat Kelantan yang enggan menerima suntikan dos penggalak disebabkan mereka keliru, kurang pemahaman dan terpedaya dengan anasir negatif, bahkan sebahagian darinya tidak menghadiri janji temu," katanya selepas program gotong-royong di sini, hari ini.
"Apa yang lebih membimbangkan, majoriti yang menolak untuk menerima suntikan dos penggalak dan PICKids terdiri dari orang Melayu.
"Saya juga dimaklumkan ramai kalangan ibu bapa tidak membawa anak-anak mereka untuk mendapatkan suntikan walaupun janji temu sudah dibuat," tambahnya.
Dr Izani berkata, menyedari peratusan rendah itu, pihak kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Kesihatan Kelantan serta Kementerian Kesihatan bagi mencari pendekatan untuk menangani masalah berkenaan.
Menyentuh mengenai bazar Ramadan, Dr Izani berkata, pembukaan dan kebenaran beroperasi adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara, MKN dan Kementerian Kesihatan (KKM).
"Saya masih bimbang dengan peningkatan dan penularan kes COVID-19 di Kelantan ditambah pula kadar vaksinasi dos penggalak yang rendah di Kelantan," katanya.
Semalam, Izani memaklumkan pembukaan bazar Ramadan dan program solat tarawih Madinatul Ramadhan dibenarkan pada tahun ini.
Sementara itu, Jabatan Kesihatan memaklumkan sekitar 4,500 kanak-kanak tidak hadir janji temu suntikan di pusat penerimaan vaksinasi PPV yang tersenarai di seluruh Kelantan dalam tempoh 1 hingga 8 Mac lepas.
Jabatan Kesihatan Kelantan juga memaklumkan kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun dikesan gagal hadir bagi mendapatkan suntikan selepas dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera.
"Untuk Pusat Penerimaan Vaksin di Taman Orkid, Pengkalan Chepa, jumlah janji temu 600 penerima sehari, yang hadir sekitar 20 hingga 50 orang, sekitar 4,800 penerima kanak kanak yang gagal hadir," menurut kenyataan.
Secara purata dalam tempoh lapan hari itu, hanya 240 orang yang hadir atau 5 peratus sahaja melibatkan kanak kanak 5 hingga 11 tahun.
#dos penggalak #PICKids #COVID-19 #vaksinasi
;