Kerajaan kekal berbelanja secara berhemah, kawal hutang negara - Rafizi

Rahimah Abdullah
Mac 22, 2023 12:10 MYT
Rafizi bertegas, perbelanjaan dibuat kerajaan bukan untuk meraih popular atau bertujuan mendapat sokongan rakyat semata-mata. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan berpendirian untuk terus berbelanja secara berhemah dan mengelak berbelanja dengan cara berhutang sesuka hati.
Dalam masa sama, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bertegas, perbelanjaan dibuat bukan untuk meraih populariti atau bertujuan mendapat sokongan rakyat semata-mata.
"Tidak timbul soal kerajaan tak belanja. Yang penting kerajaan berbelanja berhemah dan dapat nilai terbaik dan bukan berhutang 'buta', tetapi akhirnya hutang itu digunakan untuk biaya projek-projek seperti Jana Wibawa.
"Dari segi perancangan aturan Kerajaan, Kerajaan akan terus berbelanja besar tetapi tidak akan (berhutang) semata-mata untuk dapat sokongan rakyat di bawah dengan mengambil hutang yang besar supaya Perdana Menteri nampak popular, sehingga kita melepasi tahap defisit yang secara antarabangsanya dikira sudah dalam keadaan bahaya sebab ia berkait juga dengan hutang-hutang akan datang yang kita ambil," katanya semasa menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah di dewan rakyat pada Rabu.
Kata Rafizi lagi, penarafan hutang negara adalah lebih tinggi jika negara tersasar daripada sasaran defisit sedia ada.
"Setiap kali kalau ada pentadbiran baharu mengambil pendekatan berhutang semata-mata tanpa menjaga defisit dan penarafan hutang kita, maknanya jumlah faedah yang perlu dibayar itu berganda-ganda dan kalau sekarang RM40 bilion, lima tahun lagi jadi RM60 bilion," ujarnya.
Justeru, beliau berkata, pendekatan berbelanja secara berhemah selain usaha mengawal hutang negara akan dapat membantu rakyat terutama golongan rentan di negara ini.
Dalam pada itu, Rafizi menafikan kenyataan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa keadaan ekonomi negara adalah lebih teruk berbanding sebelum ini.
Sebaliknya, Ahli Parlimen Pandan itu menegaskan, semua sektor kecuali pertanian dilaporkan kembali pulih dan Kerajaan ketika ini sedang mengukuhkan keadaan fiskal negara.
"Berdasarkan unjuran dan prestasi ekonomi sekarang, kita tidak akan menjadi lebih teruk daripada zaman (ahli parlimen) Pagoh menjadi Perdana Menteri kerana kalau berdasarkan kepada (ditanya) Pagoh, menteri jawablah. Menteri jawab berdasarkan kepada Kerajaan yang ada.
"Kalau lihat kepada saiz KDNK sekarang, semua sektor telah pulih kecuali pertanian.
"Jadi kalau Pagoh kata keadaan pada tahun ini akan menjadi lebih teruk dari sebelum ini, data ekonomi yang ada tidak menyokong apa yang disebut Pagoh.
"Yang keduanya, walaupun Kerajaan boleh memperuntuk RM100 bilion ke RM200 bilion, kita sedar kami terpaksa mewarisi satu bebanan hutang yang besar, Pagoh.
"Sebab itu dalam suasana yang sudah melepasi endemik, dan dalam kita nak pastikan cabaran antarabangsa (diatasi), yang terbaik ialah menangani antara suntikan dan bantuan dengan kukuhkan keadaan fiskal negara," ujarnya.
#Rafizi Ramli #Dewan Rakyat #Hutang negara #raih populariti perdana menteri
;