Kerajaan Kedah longgar syarat beli rumah untuk masyarakat Siam

Bernama
Mac 26, 2018 23:24 MYT
Najib dan Ahmad Bashah (kiri) menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Masyarakat Siam di Kampung Chanding Padang Terap hari ini. Turut sama Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahadzir Khalid (tiga, kiri). --fotoBERNAMA
Kerajaan negeri Kedah hari ini bersetuju memenuhi permintaan masyarakat keturunan Siam di negeri ini termasuk pembelian rumah di atas Tanah Rizab Melayu di Taman Sejahtera di Sik.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata walaupun taman perumahan tersebut berstatus Tanah Rizab Melayu tetapi dengan kuasa yang ada kerajaan memberi kelonggaran syarat bagi membolehkan lebih ramai masyarakat Siam memiliki rumah.
Beliau membuat pengumuman tersebut ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Masyarakat Siam di Perkampungan Chanding di sini, hari ini.
Majlis yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dihadiri kira- kira 5,000 masyarakat Malaysia keturunan Siam dari beberapa daerah di negeri ini.
Dalam pada itu, kerajaan negeri juga bersetuju supaya bagi setiap permohonan oleh masyarakat Siam untuk mendapatkan tanah pertanian hanya perlu mengemukakan satu sijil pertanian sahaja.
Ini bermakna satu sijil permohonan saja akan dikemukakan selepas ini selain kerajaan bersetuju supaya tarikh luput bagi Sijil Pertanian Siam dihapuskan, kata Ahmad Bashah.
"Kerajaan negeri juga bersetuju supaya pesara polis dan tentera berketurunan Siam layak memohon dan memiliki sijil tersebut di mana sebelum ini mereka tidak layak berbuat demikian. ini untuk mengenang jasa dan pengorbanan besar mereka menjaga keamanan dan keselamatan negara selama ini," katanya.
Selain itu, katanya, Pesta Songkran yang disambut pada bulan April setiap tahun akan dimasukkan ke dalam kalendar tahunan pelancongan negeri Kedah dan akan memberi bantuan khas untuk sambutan itu itu.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat Siam di negeri ini tidak membuat kesilapan dengan memberi undi kepada Pakatan Harapan (PH) yang diterajui DAP pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang kerana ia akan merugikan masyarakat itu.
"Jangan kita lupa kuasa yang ada ditangan kita patut dipertahankan dan jangan silap pilih kerana kuasa ini nak tentukan masa depan negeri bagi lima tahun lagi. Rakyat Kedah jangan mudah terpengaruh dengan janji-janji manis pembangkang yang hanya mahu meraih undi, " katanya.
-- BERNAMA
#Ahmad Bashah Md Hanipah #DAP #Kedah #kelonggaran #Menteri Besar #Najib Razak #Pakatan Harapan #pembangkang #Pesta Songkran #rumah #Siam #syarat #tanah rizab Melayu
;