Kerajaan kawal rapi kemasukan pelancong asing - PM Anwar
Hasimi Muhamad
Januari 6, 2023 23:10 MYT
Januari 6, 2023 23:10 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan akan mengawal rapi sepenuhnya kemasukan pelancong asing ke negara ini khususnya dari negara yang dikesan mencatatkan kadar penularan kes COVID-19 tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekatan akan dikenakan ke atas mereka jika disahkan dijangkiti COVID-19.
Anwar menambah, kerajaan juga tidak mengambil kira dari mana pelancong asing itu datang dalam melakukan pemeriksaan ketika memasuki negara.
"Kita tak mahu diskriminasi, mengapa kita nak bagi negara kini, tekan negara itu, tidak. Kita bagi satu yang telus. Semua pelancong yang masuk dikawal rapi dan kalau ada petanda, kesan kepada kesihatan, maka kita tidak akan izinkan (masuk)," katanya pada program Naratif Khas bersama Perdana Menteri yang disirkan RTM, pada Khamis malam.
Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau tidak mahu terpengaruh dengan laporan media barat, sebaliknya, setiap keputusan melibatkan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan akan dibuat berdasarkan sains dan data.
"Saya tidak mahu terpukau dengan propaganda asing.
"Kita harus baik dengan semua negara. Kalau ada pembawa wabak dari Amerika Syarikat, kita sekat. Kalau dari China, kita sekat, kerana pelancongan dan ekonomi tidak dapat mengatasi kesihatan dan kesejahteraan hidup rakyat," ujar Perdana Menteri.