Kerajaan kaji waktu kerja anjal sektor perladangan, tarik pekerja tempatan

Umavathi Ramayah
Oktober 25, 2023 14:00 MYT
Mustapha Sakmud berkata, langkah itu berkemungkinan dapat membantu mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) seperti perladangan. - Foto/ Japen
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji cadangan untuk memperkenalkan waktu kerja anjal bagi menarik lebih ramai golongan muda terlibat dalam sektor perladangan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mustapha Sakmud berkata, langkah itu berkemungkinan dapat membantu mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) seperti perladangan.
"Ada beberapa cadangan cuba dibuat, pertamanya untuk membangunkan satu silibus supaya kerja-kerja di ladang ini boleh dipersijilkan seperti SKM (Sijil Kemahiran Malaysia) 1 dan SKM 2.
"Ada juga cadangan supaya ada waktu atau minggu fleksibel kepada generasi muda ini. Kalau mereka bekerja di ladang sepanjang masa, mungkin agak membosankan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada soalan tambahan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) yang bertanya langkah kerajaan dalam 'memperindahkan' sektor pekerjaan 3D bagi menarik minat pekerja tempatan di Dewan Rakyat, di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mustapha memberitahu, cadangan itu adalah antara yang dilontarkan dan kementeriannya dan kementerian lain sedang mengkaji cadangan itu secara praktikal.
"Ia supaya kita dapat mengajak anak muda ini dapat bekerja di ladang dan memastikan kita tidak bergantung kepada pekerja buruh asing," katanya.
#jadual anjal #sektor 3D #pekerja asing #Dewan Rakyat
;