Kerajaan kaji turunkan lagi harga kit ujian kendiri RTK menjelang hujung tahun - Tengku Zafrul
Fareez Azman
September 9, 2021 11:06 MYT
September 9, 2021 11:06 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji menurunkan lagi harga kit ujian kendiri COVID-19 RTK- Antigen menjelang hujung tahun ini.
Menurut Menteri Kanan Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, langkah itu bagi membolehkan pengesanan kontak lebih cepat dapat dibuat.
"Untuk mengembangkan usaha ini, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengiktiraf beberapa kit ujian kendiri COVID-19 yang boleh dibeli di farmasi seluruh negara.
"Selain itu, bagi memastikan kit ujian ini boleh didapati oleh rakyat, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah meletakkan harga siling di bawah RM20 untuk satu kit ujian.
"Kedua-dua kementerian ini sedang mengkaji untuk menurunkan harga kit ujian kendiri menjelang hujung tahun ini," katanya.
Tambah Tengku Zafrul, kerajaan juga sedang meningkatkan keupayaan pengesanan kontak menggunakan teknologi dan data mobiliti.
"Individu yang berpotensi menjadi kontak rapat akan dikenal pasti dan kemudiannya diberi arahan untuk kuarantin kendiri.
"Bagi yang tiada gejala atau gejala ringan pula diminta untuk kuarantin dan pengawasan di rumah," katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama pembukaan Sidang Kemuncak Pemulihan Negara anjuran Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik dan Kelab Ekonomi Kuala Lumpur secara maya pada Khamis.