Kerajaan kaji semula pemberian pemegang Kad UNHCR kepada pelarian etnik Rohingya - Hamzah
Amirrul Rabbani
April 23, 2022 13:44 MYT
April 23, 2022 13:44 MYT
LARUT: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengkaji semula pengeluaran Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ke Atas Pelarian (UNHCR) bagi memastikan ia tidak diberikan kepada pelarian yang masuk ke Malaysia sebebasnya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, langkah berkenaan perlu segera diambil ekoran pelarian etnik Rohingya dilihat begitu mudah mendapatkan kad tersebut.
Katanya lagi kajian sama juga perlu dilakukan susulan ratusan tahanan etnik berkenaan melarikan diri dari Depor Tahanan Imigresen Sungai Bakap pada Rabu lalu.
"Kita tidak boleh memberi ruang supaya mereka dengan mudah memasuki negara tanpa dokumen dan terus mendapat kad UNHCR.
"Ia sesuatu yang tidak betul...ini bukan negara untuk pendaftaran UNHCR sebab itu kita ambil sikap tegas bahawa pemegang kad bukan bermakna boleh tinggal di negara kita.
"Jadi kerana itu perlu kaji semula punca pelarian UNHCR duduk di sini dengan bebas dan bagi kad dengan bebas kerana tiada bantuan diberikan kepada kita. Kita sebagai negara yang bersikap perikemanusiaan kepada sesiapa pun tidak bermakna mereka boleh memasuki negara dengan sewenangnya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis sumbangan Parlimen Larut kepada 1,000 penerima di Dewan Astaka Batu Kurau, dekat lLrut pada Sabtu.
Tambah Hamzah, Malaysia perlu mula bersikap tegas dalam soal berkenaan kerana tidak pernah menerima bantuan dari mana-mana negara walaupun membantu pelarian etnik Rohingya atas dasar kemanusiaan.
Ketika ditanya tentang dakwaan layanan buruk yang diterima tahanan berkenaan sehingga membawa kepada kejadian melarikan diri dari depoh, Hamzah menegaskan ia merupakan dakwaan yang tidak benar.
Tegasnya kerajaan telah memberikan layanan baik dan keperluan yang mencukupi kepada pelarian berkenaan termasuk menyediakan tempat penginapan, makan dan minum kepada mereka.
Dalam Kejadian awal pagi Rabu, 528 tahanan etnik Rohingya melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen Sungai Bakap dan enam daripadanya maut ketika sedang melintas jalan di kilometer 168 arah selatan Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Jawi, Nibong Tebal.
#tahanan lolos
#warga Rohingya
#kad UNHCR
#Depoh tahanan
#Hamzah Zainudin
#Parlimen
#Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap