Kerajaan kaji semula model membolehkan golongan muda beli rumah pada usia awal

Astro Awani
Oktober 11, 2021 00:34 MYT
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, usia lewat membeli aset kediaman sendiri hanya akan merugikan seseorang pada masa akan datang. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan bakal mengkaji semula model untuk membolehkan golongan muda memiliki rumah sendiri.
Jelas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, ini kerana usia lewat membeli aset kediaman sendiri hanya akan merugikan seseorang pada masa akan datang.
“Saya melihat bahawa dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) ini antara agenda yang penting adalah untuk mengupayakan rakyat Malaysia terutamanya memiliki rumah pada usia yang muda.
“Saya sendiri memiliki rumah pada usia 32, dan saya telah rugi banyak peluang pada ketika itu kerana jika saya mampu beli rumah lebih awal, nilai bersih saya mungkin lebih tinggi sekarang.
“Kebanyakan anak muda terlepas peluang ini kerana ada halangan untuk memiliki, iaitu wang pendahuluan yang agak tinggi.
“Disebabkan itu, saya telah mengarahkan kementeriannya untuk melihat model yang boleh digunakan agar memungkinkan pada masa yang akan datang anak muda dapat memiliki rumah pada usia yang muda,” jelasnya ketika melakukan tinjauan di Projek Impiana Sky Residensi Bukit Jalil, pada Isnin.
Projek Impiana Sky Residensi Bukit Jalil merupakan salah satu daripada 121 buah projek di bawah Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome) yang diperkenalkan Kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 bagi membantu Keluarga Malaysia memiliki kediaman pertama dengan insentif sebanyak RM30,000 seunit.
Sehingga 31 Ogos 2021, sebanyak 9,420 unit rumah di bawah Skim MyHome telah dibina di seluruh Malaysia dengan 7,248 orang pembeli telah menerima manfaat insentif MyHome ini.
#Reezal Merican #rumah mampu milik #Bukit Jalil #golongan muda
;