Kerajaan kaji pemerbadanan Jabatan Insolvensi Malaysia

Pia Ernadya
Julai 25, 2024 21:21 MYT
Menurut Azalina, pembangunan sistem pendigitalan memainkan peranan penting dalam memodenkan pelaksanaan operasi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi cadangan pemerbadanan Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) selaras dengan amalan terbaik global melalui perbandingan negara-negara lain dalam masa terdekat.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, ia termasuk dengan mengambil kira pandangan pakar insolvensi rentas sempadan, pakar dalam dan luar negara serta pandangan rakyat umum dalam memastikan pentadbiran insolvensi yang lebih efisien.
"Selaras dengan arus pemodenan teknologi dan trend pada masa kini, pembangunan sistem pendigitalan memainkan peranan penting dalam memodenkan pelaksanaan operasi.
"Dalam memacu daya saing untuk pertumbuhan mampan, kerajaan telah mengambil langkah untuk mempertingkat penerimagunaan teknologi dan pendigitalan melalui pembangunan enterprise architecture (EA) dengan memperkukuh rantaian nilai dan menambah baik mekanisme tadbir urus," Azalina berkata demikian menerusi kenyataan media pada Khamis.
Tambahnya juga, program Dasar Peluang Kedua yang diperkenalkan oleh Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani berjaya melebihi sasaran pelepasan bankrap dengan jumlah 142,510 kes.
Dasar ini terdahulunya menyasarkan pelepasan seramai 130,000 orang yang diisytiharkan bankrap hingga tempoh masa satu tahun selepas Akta A1695 berkuat kuasa.
"Komitmen kerajaan dalam roll-out ini adalah bagi memastikan tiada golongan rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan negara.
Namun begitu, Agenda Dasar Peluang Kedua itu turut akan menyasarkan pentadbiran insolvensi yang berkesan melalui pengurusan dan penghasilan harta insolvensi yang cekap dan berkesan termasuk harta melibatkan syarikat yang telah digulungkan.
"Bagi tujuan itu, kerajaan melalui Jabatan Insolvensi Malaysia telah mempertingkatkan jalinan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan dan swasta khususnya dengan Persatuan Pengamal Insolvensi Malaysia (iPAM) dalam usaha memperkasakan pengurusan dan penghasilan harta insolvensi.
"Secara tidak langsung, usaha ini dapat menggalakkan pengaliran wang serta pertumbuhan ekonomi sekaligus menarik pelaburan kewangan dan perdagangan antarabangsa ke Malaysia," jelasnya lagi.
#Azalina Othman Said #Malaysia Madani #Jabatan insolvensi Malaysia #cadangan pemerbadanan
;