Kerajaan kaji pelaksanaan sidang Parlimen hibrid - Takiyuddin

Syafik Shukri Jalil
Jun 4, 2021 18:21 MYT
Mesyuarat turut memutuskan supaya kajian lebih terperinci dibuat segera bagi menyediakan kertas lengkap yang akan diangkat dalam waktu terdekat untuk pertimbangan dan kelulusan jemaah menteri. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji konsep dan mekanisma ke arah pelaksanaan Sidang Dewan Parlimen secara hibrid yang melibatkan Persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Ini bagi memastikan Parlimen dapat berperanan sebagaimana sewajarnya walaupun negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19 serta program pemulihan masih berjalan di semua peringkat.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, satu perbincangan melibatkan dirinya yang juga selaku Menteri Bertanggungjawab dengan Hal Ehwal Parlimen bersama kedua-dua Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta Timbalan-Timbalan Yang Dipertua telah diadakan secara maya.
“Ia dijalankan bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan persiapan ke arah pelaksanaan Parlimen secara hibrid, merangkumi aspek-aspek infrastruktur, teknikal, undang-undang, peraturan dan kewangan.
‘’Mesyuarat hari ini pada dasarnya bersetuju dengan pelan konsep Parlimen hibrid ini diadakan yang berasaskan penyertaan ahli-ahli parlimen secara kehadiran fizikal dan juga secara maya,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
[TERKINI] Kerajaan kaji sidang Parlimen secara hibrid
Tambahnya, mesyuarat turut memutuskan supaya kajian lebih terperinci dibuat segera bagi menyediakan kertas lengkap yang akan diangkat dalam waktu terdekat untuk pertimbangan dan kelulusan jemaah menteri.
Dewan Rakyat sebelum ini dijadualkan kembali bersidang mulai 2 November hingga 15 Disember depan.
#COVID-19 #Sidang Parlimen #Dewan Rakyat #Dewan Negara #Takiyuddin Hassan #Parlimen hibrid #imuniti kelompok #pandemik #Parlimen #Perdana Menteri #Muhyiddin Yassin
;