Kerajaan kaji larangan bawa telefon bimbit ke sekolah - Kamalanathan
T K Letchumy Tamboo
Januari 15, 2015 10:00 MYT
Januari 15, 2015 10:00 MYT
Kementerian Pendidikan sedang mengkaji cadangan untuk menimbang semula keputusannya tidak membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah.
Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan berkata pihaknya sedang menimbang kembali perkara itu dan mengkaji semula sekiranya ia akan lebih banyak membantu atau memberikan masalah.
Namun demikian, beliau berkata bahawa suatu pendekatan holistik perlu diambil sebelum membuat keputusan di dalam isu tersebut.
“Kami sedang mengkaji cadangan itu. Saya telah mendengar mengenainya dan keputusan tidak boleh dibuat dalam jangka masa yang pendek.
“Kami akan mengambil kira semua cadangan dan keputusan mungkin akan dibuat dalam masa terdekat ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, baru-baru ini.
Kamalanathan menegaskan bahawa semua syarat-syarat sedia ada mengenai perkara itu akan dikekalkan buat masa ini.
“Kita masih tidak membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah, tetapi kita (kementerian) terima cadangan dan buat keputusan dalam masa terdekat.
“Ada kemungkinan keputusan itu akan menyebabkan beberapa pihak kurang berpuas hati, tetapi kita kena melihat gambaran yang lebih besar,” katanya.
Pada 5 Januari, Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, negeri Kedah Datuk Tajul Urus Mat Zain menyarankan agar Kementerian Pendidikan mengkaji semula larangan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah kerana sudah tiba masanya kerajaan membenarkan pelajar berbuat demikian kerana ia menjadi keperluan pada masa kini.
Beliau juga telah mencadangkan hanya telefon bimbit asas perlu dibawa oleh pelajar ke sekolah.
Sentimen itu turut dikongsi oleh pembaca astroawani.com yang rata-rata berkata sekiranya pelajar dibenarkan untuk membawa telefon ke sekolah, mereka seharusnya membawa telefon bimbit asas tanpa internet.
Namun demikian, pihak ibu-bapa dan guru yang ditemubual oleh astroawani.com pula berpendapat proses pengajaran dan pelajaran boleh terganggu sekiranya murid-murid dibenarkan untuk membawa telefon ke sekolah yang akhirnya akan mengakibatkan penurunan kualiti prestasi pelajar.