Kerajaan kaji keperluan lesen penyedia platform besar Google, Meta, TikTok
Bernama
November 21, 2023 14:35 MYT
November 21, 2023 14:35 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) masih mengkaji keperluan untuk melesenkan atau mendaftarkan penyedia platform besar seperti Google, Meta dan TikTok.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Teo Nie Ching berkata penelitian atau kajian itu merangkumi pelbagai perkara termasuk implikasi dari sudut dasar terhadap perkhidmatan, aspek pelaburan dan perdagangan, kaedah percukaian serta aspek keselamatan pengguna di Malaysia.
"Pada masa ini belum ada sebarang keputusan atau pendirian yang dibuat oleh kerajaan berhubung perkara ini, bagaimanapun usaha-usaha awal telah dilaksanakan melalui beberapa siri libat urus.
"Ini bertujuan untuk membincangkan dan mendapatkan input dan maklum balas daripada pelbagai pemegang taruh serta pihak berkepentingan di Malaysia berhubung perkara ini," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) tentang mekanisme bagi melesenkan penyedia platform besar yang menjana pendapatan menerusi kandungan daripada organisasi media tempatan.
Teo berkata satu jawatankuasa turut dibentuk bagi meneroka dan memperincikan perkara melibatkan perundangan seterusnya mencari jalan terbaik untuk mendapatkan hasil positif kepada semua pihak termasuk industri media tempatan.