Kerajaan kaji kaedah terbaik kurangkan kebergantungan gula mentah luar negara

Bernama
Ogos 19, 2023 22:15 MYT
Datuk Armizan Mohd Ali singgah ke gerai jualan semasa menghadiri Program Jualan Rahmah Mega Peringkat Negeri Johor di perkarangan Stadium Majlis Bandar Raya Pasir Gudang hari ini. - Foto BERNAMA
PASIR GUDANG: Kerajaan sedang mengkaji kaedah terbaik bagi mengurangkan kebergantungan bekalan gula mentah negara yang kini 100 peratus diimport dari luar.
Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia bagi mengatasi masalah bekalan bahan mentah tersebut sekiranya terdapat faktor luar kawalan yang boleh menjejaskan bekalan seperti geopolitik, bencana dan sebagainya.
Beliau berkata buat masa ini, Malaysia hanya menerima bekalan dari Brazil sahaja berbanding dari Thailand dan India juga sebelum ini.
"Yang ada dalam negara ada gula (tapi gula proses), tetapi gula mentah bekalan kita adalah sepenuhnya dari negara luar.
"Kita memikirkan jangka masa panjang bagaimana penghasilan bekalan keperluan harian pengguna. Kita kena pastikan sekurang-kurangnya kalaupun SSL (tahap sara diri) itu tidaklah sepenuhnya tapi kita ada bekalan yang boleh dapat dalam negara," katanya kepada pemberita di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Jualan Rahmah Mega di pekarangan Stadium Tertutup MBPG, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor Lee Ting Han; dan Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo.
Armizan berkata, langkah mengimport gula mentah sepenuhnya dari negara luar dibuat kerana kosnya lebih rendah berbanding dikeluarkan dalam negara.
Mengenai program Jualan Rahmah Mega yang diadakan, Armizan berkata inisiatif tersebut telah dijalankan di 1,229 lokasi seluruh negara dan memanfaatkan 2.1 juta pengguna.
Katanya, jumlah itu direkodkan dari Januari hingga 31 Julai lepas, dengan di Johor sahaja telah memanfaatkan 611,790 pengguna.
-- BERNAMA
#gula mentah luar negara #kpdn #Armizan Mohd Ali #kebergantungan bekalan gula mentah
;