Kerajaan kaji cadangan segerakan baki projek Pan Borneo Sabah - Fadillah

Bernama
November 15, 2021 23:36 MYT
Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ia termasuk mempertimbangkan kaedah pelaksanaan secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dan pembiayaan melalui terbitan sukuk/bon oleh DanaInfra Nasional Berhad. - JAPEN
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji dan meneliti cadangan-cadangan bagi menyegerakan pelaksanaan keseluruhan baki projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa Satu yang merangkumi 19 pakej kerja.
Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ia termasuk mempertimbangkan kaedah pelaksanaan secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dan pembiayaan melalui terbitan sukuk/bon oleh DanaInfra Nasional Berhad.
"Namun, sebarang kaedah pelaksanaan adalah tertakluk kepada penelitian lanjut bersama agensi pusat dan kemampuan kewangan semasa kerajaan," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.
Sebanyak 35 pakej kerja dirangka dilaksanakan dalam fasa satu projek LPB Sabah membabitkan jarak 706 kilometer.
Beliau berkata projek LPB Sabah dan Sarawak sepanjang 1,492 km merupakan inisiatif kerajaan Persekutuan untuk menambah baik secara berperingkat jaringan infrastruktur jalan raya di Sabah dan Sarawak.
Dalam pada itu, Fadillah berkata fasa satu projek LPB Sarawak bernilai RM16.117 bilion meliputi 11 pakej kerja dengan jajaran sepanjang 786 kilometer dari Telok Melano ke Miri.
"Satu pakej kerja iaitu pakej Telok Melano ke Sematan telah siap sepenuhnya pada Jan 2019, manakala bagi 10 pakej kerja iaitu dari Sematan ke Miri sedang giat dilaksanakan dengan status kemajuan pembinaan sehingga Okt 2021 adalah 73 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2022," katanya.
Mengenai Projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Tiga (LPT3), beliau berkata buat masa ini, Jabatan Kerja Raya sedang melaksanakan kerja awalan LPT3 dengan peruntukan RM35 juta bagi memperincikan jajaran dan kos LPT3.
"Sehingga September lepas, status kemajuan kerja awalan adalah 87 peratus. Dapatan hasil kerja awalan LPT3 ini dijangka akan dibentangkan kepada agensi pusat pada April 2022 bagi mendapatkan hala tuju pelaksanaan LPT3," katanya.
-- BERNAMA
#Dewan Rakyat #Fadillah Yusof #Pan Borneo #Sabah
;