Kerajaan kaji cadangan kutipan tol alternatif kepada Touch N Go, Smart Tag

TK Letchumy Tamboo
Jun 25, 2014 06:29 MYT
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin. -gambar fail
Kerajaan sedang mengkaji cadangan teknologi kutipan tol alternatif untuk mengurangkan masalah kesesakan di plaza-plaza tol di negara ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata antara cadangan yang sedang dikaji untuk menjadi alternatif kepada sistem Touch N Go dan Smart Tag, termasuklah system frekuensi radio (RFID), bagi tujuan kutipan tol secara elektronik.
Beliau berkata namun cadangan RFID ini memerlukan persetujuan pelbagai pihak yang berkepentingan termasuk pemegang konsesi lebuh raya.
“Kerajaan masih lagi meneliti secara terperinci aspek-aspek teknikal dan perundangan yang berkaitan dengan sistem kutipan tol elektronik secara keseluruhan sebelum kita memutuskan pelaksanaan yang bersesuaian,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan daripada Senator Datuk S.Vigneswaran yang ingin tahu adalah sistem kutipan tol yang sedia ada akan diganti dengan sistem RFID.
Sementara itu Rosnah memaklumkan Dewan Negara bahawa sehingga 31 Mei tahun ini, Touch N Go Sdn Bhd telah mengeluarkan sebanyak 15.7 juta kad Touch N Go sejak ia memulakan operasi pada tahun 1997.
“Daripada jumlah tersebut, dianggarkan 7.9 juta kad Touch N Go masih lagi aktif digunakan manakala bakinya, iaitu 7.8 juta kad lagi dikategorikan sebagai kad tidak aktif.
“Untuk tempoh tahun 2006 hingga 2013, Touch N Go Sdn Bhd telah menerima aduan melibatkan 158,000 kes kehilangan atau kerosakkan kad Touch N Go.
“Daripada jumlah tersebut, nilai baki kad keseluruhan yang telah dipulangkan semula oleh Touch N Go Sdn Bhd kepada pelanggan yang membuat tuntutan ialah sebanyak RM11 juta,” katanya.
Beliau menambah bahawa terdapat 55,000 kad yang masih berbaki dan tidak dituntut dengan nilai dana terkumpul sebanyak RM2.9 juta dan ia telah diserahkan kepada kerajaan selaras dengan peruntukan seksyen 10 (1) Akta Wang Tak Dituntut 1965 (Pindaan 2002).
#lebuhraya #Rosnah Abdul Rashid Shirlin #Smart Tag #tol #Touch n Go