Kerajaan kaji cadangan "Hari Pasar Borong" sehari seminggu
Wan Syamsul Amly
Februari 7, 2014 16:07 MYT
Februari 7, 2014 16:07 MYT
Kerajaan mengkaji cadangan mengadakan satu hari khas di dalam setiap minggu untuk orang ramai menikmati harga istimewa di pasar borong.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia membolehkan faedah harga borong dapat dinikmati pengguna dan peruncit biasa.
``Kita akan adakan sehari dalam seminggu dimana pembeli biasa boleh pergi dan mendapatkan ikan serta barangan keperluan lain dengan harga borong.
``Kita akan kaji juga adakah bentuk pembelian, adakah beli secara pukal atau bagaimana...kita akan teliti secara terperinci bagaimana ia hendak dilaksanakan,'' katanya.
Muhyiddin berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan bersama pengedar dan pembekal bagi membincangkan isu-isu kos berkaitan kos sara hidup di pejabatnya.
Kira-kira 40 wakil peratuan menghadiri perjumpaan itu yang berlangsung lebih sejam dan turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek.
Jelasnya, cadangan hari khas orang ramai ke pasar borong itu turut merangkumi kajian memberi masa khusus kepada pembeli biasa untuk membuat pembelian di lokasi berkenaan.
Dalam pada itu ujar Muhyiddin, rakyat kini digalakkan untuk membeli ikan sejuk beku yang diimport kerana harganya lebih murah berbanding ikan segar tempatan.
``Walaupun harga ikan sejuk beku yang diimport murah, namun kualitinya tetap sama dan terjamin,'' katanya.
Pada sidang media itu, Muhyiddin melahirkan rasa puas hati dengan kerjasama majoriti pemborong, pembekal dan pengimport barang dalam usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Katanya, komitmen golongan itu dalam membantu usaha kerajaan mengawal dan mengurangkan harga barang seperti ikan, sayur-sayuran dan ayam harus diberi pujian.