Kerajaan Johor wujudkan taman gajah, tuntung tangani kepupusan
Bernama
Ogos 25, 2013 20:15 MYT
Ogos 25, 2013 20:15 MYT
Kerajaan negeri Johor dengan bantuan kepakaran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam akan mewujudkan taman gajah dan tuntung di negeri ini untuk tangani kepupusan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Datuk Ayub Rahmat berkata pihaknya telah mengenal pasti Sungai Sedili di Kota Tinggi sebagai tapak taman tuntung dan sedang mempertimbang kawasan hutan yang sesuai untuk dijadikan tapak taman gajah.
"Usaha menempatkan gajah liar di satu kawasan khas amat perlu memandangkan Taman Negara Endau-Rompin di Mersing yang kini menjadi habitat hidupan itu padat dan tidak dapat menampung bilangannya," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Mengenai Taman Laut Sultan Iskandar yang baru diwartakan, beliau berkata tempoh menyelam akan dihadkan mulai dari pukul 9 pagi hingga 5 petang sahaja dan setiap pelawat akan dikenakan bayaran masuk ke pulau.
"Caj kemasukan dikenakan kerana kita mahu kos memulihara kawasan itu dikongsi bersama. Dalam usaha kita menikmati keindahan, maka kita juga perlu menjaga kebersihan dan memulihara khazanah supaya tidak musnah," katanya.