Kerajaan Johor umum 2 Mei sebagai cuti khas peristiwa
Aiman Hakeem Awazmin
April 27, 2022 17:55 MYT
April 27, 2022 17:55 MYT
JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor mengumumkan tarikh 2 Mei 2022 (Isnin) sebagai cuti kelepasan am bersempena Hari Raya Aidilfitri.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ketetapan itu dibuat pada Rabu setelah Majlis Mesyuarat Kerajaan bersepakat mengisytiharkan tarikh tersebut sebagai Hari Kelepasan Am (Cuti Khas Peristiwa bagi Negeri Johor).
Jelasnya, kuasa bagi mempertimbangkan kelulusan cuti berkenaan merujuk kepada Seksyen 9 (1) Akta Hari Kelepasan 1951 - (Akta 369) dan terpakai kepada semua jabatan negeri, badan berkanun negeri, pihak berkuasa tempatan negeri, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat swasta di negeri ini.
"Menyedari ramai Bangsa Johor yang ingin pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidilfitri yang menjelang tiba, Kerajaan Negeri membuat keputusan untuk memberikan cuti kelepasan am pada 2 Mei 2022 (Isnin).
"Semoga kita semua beroleh manfaat dari cuti perayaan bagi bersama-sama keluarga, sanak-saudara serta rakan taulan meraikan hari lebaran.
"Rancanglah perjalanan anda dengan baik agar sentiasa lancar dan selamat ke destinasi masing-masing," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Hari Raya Aidilfitri dijangka akan disambut pada 3 Mei depan (Selasa), manakala hari kelepasan am pula telah ditetapkan pada 3 dan 4 Mei (Selasa dan Rabu), dan sambutan Hari Pekerja adalah pada 1 Mei (Ahad).
Bagi Negeri Johor, cuti hujung minggu adalah pada hari Jumaat dan Sabtu. Justeru itu, negeri Johor tidak terlibat dengan cuti gantian pada 2 Mei (Isnin).
Katanya ia mengambil kira beberapa perkara yang memudahkan perancangan rakyat negeri ini untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri setelah dua tahun tidak dapat meraikannya.
"Selain itu, ia mengurangkan kesesakan lalu lintas dan risiko kemalangan jalan raya pada hari Isnin sebelum perayaan bagi mereka yang bekerja dan tergesa-gesa untuk pulang menyambut hari perayaan.
"Disamping meningkatkan motivasi dan kebajikan kepada pekerja dengan memberi cuti lebih awal.
"Ia juga memberi kemudahan kepada ibu bapa bagi menguruskan anak anak yang tidak bersekolah dan masih kecil kerana pusat penjagaan kebanyakannya akan ditutup pada tarikh tersebut," katanya yang turut mengucapkan Selamat Hari Raya.