Kerajaan Johor mahu projek HSR diteruskan
Astro Awani
Januari 2, 2021 18:05 MYT
Januari 2, 2021 18:05 MYT
JOHOR BAHRU: Johor mahu projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) diteruskan biarpun jajaran baru tidak melibatkan Singapura.
Bagaimanapun kerajaan negeri tidak menghalang pelaburan dari republik itu sekiranya ia dilaksanakan.
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata penamatan HSR memberikan peluang kepada kerajaan pusat untuk melihat semula dan membuat kajian mengenai projek berkenaan.
Katanya yakin kerajaan pusat akan meneruskan HSR tanpa melibatkan stesen di Singapura, mungkin dalam bentuk baharu tidak seperti asal.
Perubahan itu dari segi jajaran, kedudukan stesen, rangkaian perhubungan baru untuk lebih berdaya maju.
"Saya rasa kita tidak menolak kerjasama dengan Singapura, mungkin ianya satu kerjasama baharu. Saya percaya setiap pelaburan akan melihat kepada pulangan atau return of investment," katanya dalam siding media di pejabat UMNO Johor di Johor Bahru.
Jelas Hasni, bagaimanapun segala keputusan yang diambil perlu mendahulukan kepentingan rakyat.
Katanya, adalah satu kerugian jika HSR dibatalkan terus, kerana ia akan menjadi limpahan ekonomi besar kepada Johor dengan sebahagian jajaran berada di negeri ini.
Dengan kewujudan Rapid Transit Sistem (RTS) dan projek landasan berkembar elektrik Gemas-Johor Bahru di negeri ini, Hasni berkata bas rapid transit (BRT) di Iskandar Puteri juga akan dikaji semula untuk ditukarkan kepada LRT bagi melengkapkan sistem perhubungan rel di negeri Johor.
Namun, katanya rakyat perlu beri masa kepada kerajaan untuk kaji semula HSR dalam tempoh tiga atau empat bulan.
Tambahnya, kerajaan juga perlu segera jelaskan kepada rakyat mengapa pembatalan HSR terjadi, kerana ia melibatkan ganti rugi yang besar.
#Hasni Mohammad
#UMNO
#LRT
#Singapura
#Johor Bahru
#ekonomi
#Keretapi Berkelajuan Tinggi
#HSR
#Menteri Besar Johor