Kerajaan jemput tiga pemimpin pembangkang anggotai MPN - Muhyiddin

Fareez Azman
Julai 26, 2021 13:57 MYT
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa kerajaan menjemput tiga wakil pembangkang daripada Pakatan Harapan, Warisan dan Pejuang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan turut melibatkan tiga wakil pembangkang daripada Pakatan Harapan, Warisan dan Pejuang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Perdana Menteri, penglibatan itu bagi memberi ruang kepada pemimpin-pemimpin pembangkang berkongsi pandangan dan nasihat dalam aspek pelan pemulihan berkenaan.
Selain itu, MPN juga, kata Muhyiddin, menarik penyertaan wakil-wakil dari sektor swasta, pakar industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.
LAMAN MIKRO SISITV PARLIMEN ADA DI SINI
Dalam pembentangan MPN di Dewan Rakyat pada Isnin, Muhyiddin juga memaklumkan mesyuarat pertama pelan hala tuju itu telah berlangsung pada 23 Julai dengan beliau sendiri mempengerusikannya.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz juga dilantik sebagai Menteri Penyelaras PPN bagi memastikan pelan tersebut berjalan seperti dirancang.
PPN kata, Perdana Menteri, memberi tumpuan pada lima objektif utama iaitu melindungi sektor kesihatan awam dengan mengurus penularan wabak, mengurangkan kemasukan ke hospital dan meminumkan kadar kematian; memastikan sistem kesihatan yang mampan serta melaksanakan vaksinasi secepat mungkin bagi melindungi rakyat.
Malah PPN, jelas Perdana Menteri, tidak bersifat statik, tetapi dinamik, komprehensif dan boleh ditambah baik mengikut keperluan serta situasi semasa.
[LAPOR LANGSUNG] Ahli Parlimen bertikam lidah, Dewan Rakyat 'panas'
#Dewan Rakyat #Muhyiddin Yassin #NGO #Pakatan Harapan #Parlimen #pembangkang #Perdana Menteri #Sabah #Warisan #Pejuang #Pelan Pemulihan Negara #Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
;