Kerajaan jangka lebih banyak pelaburan digital pada 2025 - Gobind
Bernama
Oktober 11, 2024 16:15 MYT
Oktober 11, 2024 16:15 MYT
PETALING JAYA: Kerajaan menjangka lebih banyak kemasukan pelaburan digital ke Malaysia pada 2025, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Beliau berkata sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menonjolkan peranan sebagai destinasi pelaburan digital di rantau ini.
"Saya berpendapat kita telah menyaksikan keyakinan meningkat yang diperlihatkan oleh syarikat gergasi teknologi global di Malaysia sebagai destinasi bagi pelaburan mereka.
"Terdapat perbincangan yang berterusan dengan banyak syarikat lain, dan saya menjangka ini akan mencapai kemajuan tahun depan.
"Kita akan melihat lebih banyak pelaburan, yang memberi petanda baik untuk negara," katanya pada sidang media selepas pelancaran Akademi Kecerdasan Buatan (AI) Gamuda, di sini hari ini.
-- BERNAMA