Kerajaan jamin tubuh SEGiM secepat mungkin - Ahmad Zahid
Astro Awani
Julai 17, 2023 15:00 MYT
Julai 17, 2023 15:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan berhasrat untuk menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) dengan secepat mungkin, bagi menambah baik perlindungan sosial serta kebajikan penggiat industri berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan mengemukakan satu memorandum kepada Kabinet, bagi mendapatkan persetujuan serta kelulusan untuk penubuhan suruhanjaya tersebut.
Ahmad Zahid menjelaskan penggiat industri ini atau pekerja tidak formal di Malaysia ini, tidak mendapat sebarang perlindungan melainkan jika mereka mencarum dengan Perkeso.
"Yang paling penting sekali di sini selama beberapa tahun kegiatan penggiat ekonomi gig ini berjalan di negara ini, namun ketidakpedulian telah dialami oleh mereka.
"Syarikat penyedia perkhidmatan tidak menganggap mereka sebagai pekerja dan syarikat juga tidak menganggap sebagai majikan kepada penggiat industri ini. Kelompangan sebegini yang memerlukan keprihatinan kerajaan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Forum Nasional Kerangka Kerjaya Industri Gig pada Isnin.
Jelas beliau kelompangan sebegini memerlukan keprihatinan dan usaha yang dilakukan ini merupakan tanda kepedulian kerajaan perpaduan terhadap pengiat ekonomi gig.
Ahmad Zahid berharap pengumuman penubuhan suruhanjaya ini dapat dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2024.
"Saya yakin Perdana Menteri dan Kabinet akan meluluskannya selepas KSM membawa memorandum mengenai penubuhan suruhanjaya ini," katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu.
Dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata SEGiM, merupakan satu badan yang berfungsi untuk mengatasi setiap isu berkaitan dan melahirkan inisiatif yang mampu menjaga kebajikan pengguna, peniaga, vendor, penghantar, pemandu dan penyedia platform, dalam industri gig.
"Antara peranan SEGiM adalah untuk membantu menyelaraskan dan mengatur industri gig dengan regulasi yang jelas, agar dapat memastikan pematuhan peraturan, melindungi hak penggiat dan mempromosikan persekitaran yang adil dalam industri gig.
"Membantu melindungi pekerja gig dengan menyediakan perlindungan sosial, keselamatan kerja dan hak-hak penggiat gig dan memainkan peranan penting, dalam memajukan kemahiran penggiat gig dengan menyediakan program latihan dan pendidikan khusus, yang akan membantu meningkatkan daya saing penggiat gig," katanya lagi.