Kerajaan jamin tidak akan naikkan tarif air - Tuan Ibrahim

Bernama
Julai 21, 2020 11:21 MYT
Tuan Ibrahim berkata, kerajaan akan menanggung kos tarif air bagi memastikan rakyat terus selesa berdepan situasi kritikal ketika ini. - Gambar fail
Kerajaan memberikan jaminan tidak akan menaikkan tarif air dalam situasi rakyat terbeban dengan keadaan ekonomi dan situasi pandemik COVID-19 yang belum berakhir, tegas Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan akan menanggung kos itu bagi memastikan rakyat terus selesa berdepan situasi kritikal ketika ini.
"Saya ingin tegaskan bahawa dalam situasi rakyat berdepan dengan bebanan ekonomi yang teruk dan pandemik COVID-19 yang masih belum selesai dan tekanan bebanan hidup, saya ingin beri jaminan kerajaan tidak akan menaikkan tarif air dalam situasi rakyat masih terbeban ini.
"Kerajaan akan menanggung kos situasi susah sebagai kerajaan prihatin dengan tawaran (bantuan) pelbagai yang diberi, kita jamin rakyat tidak perlu risau dalam situasi kritikal ini," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, sama ada kerajaan dapat menjamin tarif air di Lembah Klang itu tidak naik selepas menyerahkan Loji Rawatan Air Langat 2, kepada Pengurusan Air Selangor. - BERNAMA
#COVID19 #kerajaan #tarif air #Tuan Ibrahim Tuan Man
;