Kerajaan jamin pelajar cemerlang SPM dapat tempat lanjut pengajian
Umavathi Ramayah
Jun 30, 2024 18:25 MYT
Jun 30, 2024 18:25 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan semua pelajar cemerlang yang berjaya mendapat keputusan 10A dan ke atas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memohon untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi akan mendapat tempat tanpa mengira kaum atau latar belakang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan bekerjasama memperincikan kaedah dan pelaksanaan perkara itu dalam waktu terdekat.
"Ketetapan ini dibuat bagi memastikan semua pelajar cemerlang SPM mendapat peluang terbaik untuk melanjutkan pengajian. Pada masa yang sama sistem kuota bumiputera sedia ada bagi Program Matrikulasi KPM kekal dan tidak terjejas.
"Kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan akses dan kualiti pendidikan negara serta memastikan sistem kuota bumiputera dan prinsip meritokrasi untuk manfaat semua pelajar terpelihara," katanya ketika berucap pada Majlis Kemuncak dan Penutup Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 di sini pada Ahad.
Perdana Menteri memberitahu, perincian mengenai keputusan itu akan dimaklumkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, pada Isnin.
"Kalau ada anak-anak yang mencatat kejayaan 10A atau lebih untuk semua aliran sekolah di negara kita, maka keputusan kita tanpa kecuali semua mereka dari semua kaum dan wilayah harus diberi jaminan tempat oleh kerajaan.
"Saya tidak mahu meneruskan ini sebagai isu kaum lagi. Cuma saya tekankan keputusan ini keputusan yang berani.
"Keputusan berani ini tidak memberi gambaran seolah-olah kita dah selesaikan masalah keadilan di dalam pendidikan, harus ada kesediaan daripada kementerian, sektor swasta, badan bukan kerajaan, sarjana dan akademia untuk menerima kenyataan bahawa banyak lagi perlu dilakukan dalam menjamin peluang anak-anak (terutama) miskin bandar, desa atau pedalaman.
"Kita harap ini ia akan selesai satu masalah dan kita tidak mahu teruskan (dijadikan) sebagai isu kaum lagi," ujarnya.
Anwar berkata kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan akses dan kualiti pendidikan negara serta memastikan sistem kuota bumiputera dan prinsip meritokrasi untuk manfaat semua pelajar terpelihara.
"Dengan cara ini saya harap meleraikan satu masalah sementara, dengan harapan supaya semangat perpaduan dalam kalangan kaum ini dapat dipupuk tanpa ada elemen kecil yang terus menghasut dan menanam bibit permusuhan.
"Rundingan inilah yang kita galakkan. Saya bicara supaya anak-anak muda harus faham. Penyelesaiannya bukan menanam kebencian atau menunjukkan permusuhan tetapi penyelesaiannya dengan semangat ehsan dan kasih sayang," katanya.