Kerajaan jamin bantuan mangsa banjir tidak akan terlalu lewat

Mohd Zalani Md Atan
Januari 23, 2022 12:30 MYT
Ismail Sabri menyantuni sebahagian penduduk Kampung Guai pada Program Santunan Mangsa Banjir anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat di Kampung Guai, Bera, hari ini. --fotoBERNAMA
BERA: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memberi jaminan, segala pemberian bantuan kepada mangsa banjir tidak akan terlalu lewat.
Beliau mengakui, kelewatan bantuan terjadi sebelum ini disebabkan proses pengesahan bagi melayakkan mereka menerima bantuan berkenaan.
Ia khususnya yang melibatkan pembelian barangan elektik berjumlah RM500 dan bantuan RM2,500 untuk menggantikan barangan rosak.
Menurutnya, setiap pembayaran wang kerajaan perlu diaudit dan ia juga melibatkan jumlah penerima bantuan yang ramai.
Bagaimanapun, katanya, pembayaran kali ini tidak akan lebih lewat dari pembayaran serupa sebelum ini yang memakan masa antara enam bulan dan setahun.
"Ada yang lewat kerana mereka perlu mendapatkan pengesahan daripada 'tok ampat' (ketua kampung) atau pihak terlibat.
"Ini memandangkan, ada yang terkesan banjir dan rumah mereka berada di tingkat lima atau 10, menyebabkan barangan elektrik tidak rosak, atau mungkin rumah dinaiki air sehingga paras buku lali sahaja.
"Kalau boleh, saya hendak beri semua bantuan ini, tetapi ia melibatkan wang kerajaan yang ada audit dan sebagainya, menyebabkan ada butiran yang diperlukan," katanya.
Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata demikian ketika berucap pada Program Santunan Kasih Mangsa Banjir di perkarangan Masjid Kampung Guai di sini hari ini.
Pada program itu, beliau menyampaikan bantuan keperluan rumah sumbangan Pejabat Parlimen Bera dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar kepada 80 wakil mangsa banjir dari Kampung Guai, Kampung Charuk Puting dan Kampung Batu Bor, semuanya dalam daerah Bera.
Ismail Sabri juga memaklumkan akan memanggil mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Bencana Pusat dalam masa dua minggu ini untuk melihat secara menyeluruh bagaimana isu banjir dapat diselesaikan.
Beliau berkata, kerajaan komited membantu mangsa banjir secepat mungkin bagi meringankan beban kewangan mereka, termasuk berusaha menyegerakan pemberian Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,000 daripada Kerajaan Persekutuan.
Beliau seterusnya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berkuasa dan penduduk Bera yang pantas bertindak sejak awal bencana banjir bermula, membolehkan tiada kejadian lebih buruk berlaku, selain penyelarasan bantuan berjalan lancar.
"Kita sudah sokmo-sokmo (selalu) dilanda banjir menyebabkan kita semua sedia. Pusat pemindahan sementara sudah dikenal pasti sejak awal dan pengurusan bencana sudah sedia dari bulan November.
"Ketua kampung juga terlatih dan mereka yang tinggal di tepi sungai sudah sedia dengan bot.
"Saya mohon maaf kerana banjir kali ini saya tidak dapat ke sini. Setiap tahun apabila banjir, saya pasti sampai dengan menaiki bot, tetapi banjir besar kali ini berlaku di banyak negeri dan saya perlu ke sana," katanya.
#bantuan #lewat #mangsa banjir #ismail sabri yaakob
;