Kerajaan jamin bantu penduduk Kg Tanduo

Astro Awani
Mac 5, 2013 14:22 MYT
Kerajaan akan mengambil semua langkah perlu untuk menjamin keselamatan dan membela kebajikan penduduk di sekitar Kampung Tanduo dekat Lahad Datu.
Kampung itu merupakan tempat persembunyian kumpulan penceroboh dari Filipina yang digempur pihak berkuasa hari ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, bantuan berkenaan akan disalurkan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"MKN akan beri bantuan kemanusiaan kerana kita tidak mahu berlaku seolah-olah mereka tidak dipedulikan dan mereka tidak sepatutnya dilibatkan dalam operasi ini.
"MKN akan lakukan sesuatu untuk bantu mereka bagi membolehkan mereka tidak sengsara," katanya dalam satu sidang media di Lahad Datu.
Sidang media itu diadakan bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Menurut Ahmad Zahid, sehingga sidang media itu iaitu lebih kurang pukul 2 petang, operasi gempur masih lagi berjalan.
"Kekuatan yang kami telah kami (tentera) berikan ialah lima batalion. Usaha sedang dijalankan untuk menambah kekuatan itu," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid dan Hishammuddin merakamkan ucapan terima kasih di atas kerjasama Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang terlibat mencari penyelesaian melalui usaha diplomatik.
Tegas Ahmad Zahid, operasi ini tidak akan menjejaskan hubungan baik yang sedia terjalin antara Putrajaya dan Manila kerana "hanya sebilangan kecil rakyat Filipina yang terlibat dan mereka tidak mendapat restu pemerintah."
Anifah dilapor mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya, Setiausaha Luar Filipina, Albert F del Rosario di Kuala Lumpur bagi mencari penyesaian yang aman malam tadi.
Kenyataan daripada Jabatan Hal Ehwal Luar Negara Filipina menyebut, pertemuan itu disertai Ahmad Zahid serta Duta Filipina ke Malaysia, J Eduardo Malaya serta para pegawai.
Presiden Filipina, Benigno Aquino III sebelum ini menasihatkan pengikut waris Kesultanan Sulu yang menceroboh kedaulatan Malaysia itu supaya menyerah diri tanpa sebarang syarat.
Tegas beliau, jalan yang dipilih oleh kumpulan itu untuk menuntut kedaulatan ke atas Sabah adalah salah.
Permintaan Aquino itu tidak dihiraukan oleh waris Kesultanan Sulu.
#Filipina #Lahad Datu #Manila #Sabah #Sulu
;