Kerajaan jalankan analisis keberkesanan vaksin COVID-19

Bernama
September 18, 2021 21:23 MYT
Kajian itu susulan trend pelbagai pihak cuba melakukan analisis sendiri sehingga mengelirukan masyarakat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang menjalankan analisis keberkesanan vaksin COVID-19 bagi mendapatkan pemahaman diri berhubung isu tersebut.
Ketua Data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Dr A. Mahes mendedahkan perkara itu ketika ditanya sama ada terdapat pendekatan yang mungkin untuk menjalankan analisis terhadap keberkesanan vaksin tersebut.
Ini susulan trend pelbagai pihak cuba melakukan analisis sendiri sehingga mengelirukan masyarakat dengan menyatakan keberkesanan vaksin dikatakan menurun selepas sesuatu tempoh.
"Kami sedang menjalankan usaha itu tetapi kami perlu berhati-hati kerana ia bukan sahaja menyentuh soal perangkaan...ia juga menunjukkan bagaimana kita menggambarkan dan memberi pemahaman khusus tentang isu tersebut.
"Kami berharap dapat melakukannya dengan secepat mungkin," katanya semasa taklimat media hari ini berhubung laman web COVIDNOW yang berkongsi data terperinci harian COVID-19.
Sementara itu, menurut Ketua Unit Audit Klinikal, Cawangan Kualiti Penjagaan Perubatan, Bahagian Perkembangan Perubatan, Dr Faizah Muhamad Zin, berkata kerajaan tidak dapat memberi jaminan penuh tidak akan ada pelaporan data tertunggak kes kematian COVID-19 walaupun jumlahnya telah berkurangan sejak kebelakang ini.
"Data kesihatan amat dinamik. Jika saya memberitahu anda bahawa esok semuanya akan selesai tetapi tiba-tiba dalam dua hari akan datang, kita melihat ada sebilangan kes tertunggak," katanya.
Berdasarkan data COVIDNOW, sejumlah 388 kes kematian dilaporkan semalam dengan menjadikan jumlah kematian mencecah 22,743 kes.
Daripada jumlah kematian semalam, 108 kes adalah kes yang dilaporkan sejak seminggu lalu manakala bakinya adalah pelaporan kes kematian tertunggak.
-- BERNAMA
#keberkesanan vaksin #analisis #COVID-19 #CPRC
;