Kerajaan isytihar 2017 tahun TVET - Riot
Bernama
Januari 26, 2017 06:20 MYT
Januari 26, 2017 06:20 MYT
Kerajaan telah mengisytiharkan 2017 sebagai Tahun Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam usaha mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem.
Beliau berkata inisiatif itu juga seiring dengan ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2017 bahawa keupayaan TVET akan dipertingkatkan di bawah bajet tersebut.
"Walaupun perkara ini tidak diumumkan secara rasmi sebelum ini, kalau kita nampak pada ucapan Najib dalam Bajet 2017 tempoh hari, perkataan TVET ditekankan.
"Ini bermakna, dengan penekanan ini, secara langsung dan tidak langsung, TVET menjadi permulaan kepada usaha kerajaan untuk lebih gigih dalam melahirkan ramai modal insan berkemahiran," katanya pada sidang media selepas penyerahan akreditasi kepada Proton Holdings Berhad sebagai pusat sehenti untuk program Sistem Latihan Dual Nasional, di sini pada Khamis.
Riot berkata untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi, tenaga kerja berkemahiran tinggi diperlukan dan setakat ini hanya 28 peratus modal insan Malaysia merupakan pekerja berkemahiran dan kerajaan menyasarkan untuk mencapai sekurang-kurangnya 35 peratus menjelang 2020.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata Majlis Ekonomi Negara telah meluluskan cadangan Skim Insurans Pekerjaan (EIS) bagi membantu pekerja yang diberhentikan dan usul akan dibentang di Parlimen pada Januari 2018.
Sebelum ini, menteri itu dilapor berkata skim yang memperuntukkan sumbangan majikan dan pekerja itu amat penting untuk memastikan pekerja yang diberhentikan mampu menyara hidup sekurang-kurangnya selama empat bulan sebelum mendapat pekerjaan baharu.
Terdahulu, Riot menyampaikan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia kepada 30 penerima selain menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara Proton dan Jabatan kemahiran Malaysia bagi program pembangunan jangka panjang pekerja berkemahiran.
Pada majlis itu, 27 individu menerima biasiswa Yayasan Proton untuk menyambung pendidikan peringkat Sijil Kemahiran malaysia.
-- BERNAMA