Kerajaan Indonesia turut berduka cita, zahir takziah atas pemergian Masing

Shafik Ahmad
November 2, 2021 05:39 MYT
Ini kerana kata Pemangku Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Sarawak, Hasani Edelin, mendiang banyak menyumbang kepada hubungan bilateral antara dua negara, Malaysia dan Indonesia terutama di Sarawak.
KUCHING: Pemergian mendiang Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing bukan hanya dirasai negeri Sarawak tetapi juga kerajaan Indonesia.
Ini kerana kata Pemangku Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Sarawak, Hasani Edelin, mendiang banyak menyumbang kepada hubungan bilateral antara dua negara, Malaysia dan Indonesia terutama di Sarawak.
“Kami yakin semasa hidupnya mendiang banyak memberi sumbangan kepada hubungan kedua negara khususnya antara Sarawak dan Indonesia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas memberikan penghormatan akhir mendiang Masing di kediamannya di Jalan Ong Tiang Swee di sini hari ini.
Beliau berharap hubungan kerjasama yang telah terjalin dapat terus diperkasa dan ditingkatkan pada masa akan datang.
Beliau yang mewakili pemerintahan negara republik itu turut menzahirkan rasa duka cita di atas pemergian mendiang pada 31 Oktober lalu.
Selain timbalan ketua menteri, Masing juga memegang beberapa portfolio penting dalam Kabinet Negeri.
Malah mendiang turut dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kecil Keselamatan Sempadan Sarawak.
Untuk rekod, antara sumbangan mendiang ialah penghantaran bantuan tangki oksigen ke Kalimantan Barat bagi menangani isu kekurangan oksigen ketika kes COVID-19 melonjak tinggi di negara jiran itu.
#Pemergian Masing #hubungan Sarawak Indonesia #Masing pemimpin lantang #bilateral Sarawak Indonesia