Kerajaan hasrat bina lebih banyak Pusat Rehabilitasi Perkeso di seluruh negara - Sivakumar
Abd Razak Mohd Ali
Februari 19, 2023 14:09 MYT
Februari 19, 2023 14:09 MYT
IPOH: Kerajaan berhasrat untuk membina lebih banyak Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak.
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, ia bagi memberi perkhidmatan kepada lebih ramai rakyat, khususnya pencarum Perkeso.
Menurutnya, ia juga sebagai tambahan kepada dua pusat rehabilitasi yang terdapat di Melaka dan Perak.
“Memang ada cadangan-cadangan, saya juga ada berbincang dengan pihak Perkeso berkaitan perkara ini tetapi kita kena faham bahawa ini adalah projek yang memerlukan kos yang terlalu tinggi.
“Jadi satu perancangan yang lebih strategik perlu dilakukan, memang itu adalah hasrat saya pun, kalau boleh setiap negeri untuk mempunyai satu pusat rehabilitasi,” katanya.
Beliau bercakap dalam sidang media selepas meninjau pembinaan Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan Perkeso di Bandar Meru Raya Ipoh, pada Ahad.
Menurutnya, projek pembinaan pusat bernilai RM654 juta itu berjalan mengikut jadual pada 11.86 peratus dan bakal siap secara berperingkat pada penghujung tahun 2024.
Katanya, dengan kapasiti 700 pesakit pada satu-satu masa, pusat berkenaan juga akan menerima pesakit dari luar negara, sekali gus dapat melonjakkan sektor pelancongan kesihatan negara.
Beliau turut berpuas hati dengan kediaman sementara pekerja pembinaan projek itu kerana mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).