Kerajaan harus umum tak boleh naik harga barangan
Sinar Harian
September 2, 2018 08:32 MYT
September 2, 2018 08:32 MYT
Kerajaan disarankan untuk mengumumkan dalam tempoh setahun harga barangan tidak boleh dinaikkan kecuali barangan serta perkhidmatan yang dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Penganalisis ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, hanya sebahagian barangan sepatutnya mengalami kenaikan harga dan tidak membabitkan barangan lain seperti barangan asas.
Bagaimanapun menurutnya, dia tidak pasti sama ada golongan peniaga akan bersikap lebih beretika dengan tidak menaikkan harga bagi barangan yang tidak bercukai.
“Pengguna tidak berapa tahu mana barang yang terjejas cukai di peringkat peruncitan. Mungkin ada peniaga tidak beretika… mereka akan masih menaikkan harga 10 hingga 15 peratus bagi harga barangan.
“Ini memerlukan kawalan KPDNKK perlu pastikn aktiviti ini dapat dibentung. Ini memerlukan kawalan dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK),” katanya kepada Sinar Harian.
Barjoyai berkata, pengguna juga mungkin akan berasa beban apabila barang-barang sampai ke kedai runcit atau ke pasaraya memandangkan harga barangan akan lebih tinggi sedikit selepas ditambah nilai cukai.
Menurutnya, untuk barang yang dikenakan cukai tentunya harganya lebih tinggi antara 10 hingga 15 peratus dan enam peratus bagi perkhidmatan.
“Saya pasti orang ramai akan mengeluh sebab sebelum ni tak ada cukai pun harga barang naik, ini apa lagi bila cukai dikenakan peniaga akan naikkan harga.
“Kerajaan patut mengumumkan dalam tempoh satu tahun harga barang tidak boleh dinaikkan kecuali barang yang dikenakan cukai. Kerajaan perlu ada satu peraturan yang tidak benarkan peniaga naikkan harga barangan.
Menurutnya, di negara ini, harga barangan dinaikkan peniaga dengan alasan kos barang telah meningkat walaupun mungkin kos barang tak meningkat tapi dikatakan meningkat kerana kesan tidak langsung SST.
#barangan
#Barangan asas
#Barjoyai Bardai
#Cukai Jualan dan Perkhidmatan
#kenaikan
#kerajaan
#perkhidmatan
#SST