Kerajaan harus tumpu pada 3P, Pendidikan, Pekerjaan, Pendapatan - Tze Tzin
Ridauddin Daud
Februari 26, 2023 12:20 MYT
Februari 26, 2023 12:20 MYT
KUALA LUMPUR: Meskipun ada berpendapat Kerajaan Perpaduan tidak stabil namun bersandarkan kepada keadaan terkini, kerajaan baharu dilihat stabil dan bersungguh-sungguh melakukan tugas mereka.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, melihat kepada kesungguhan itu, Tze Tzin berpendapat prestasi kerajaan setakat ini sangat baik.
Malah, beliau memberikan markah ‘A-Plus’ kepada Kerajaan Perpaduan namun menegaskan beberapa perkara perlu diberi keutamaan segera.
“Keutamaan untuk kerajaan ialah 3P, Pendidikan, Pekerjaan, Pendapatan. kalau kita baiki pendidikan kita, rakyat kita, anak muda akan dapat pendidikanan lebih baik.
“Kemudian, mereka akan dapat pekerjaan lebih baik dan kalau dapat pekerjaan baik, pendapatan mereka juga akan bertambah baik.
“Jadi itu seharusnya menjadi fokus kerajaan,” katanya ketika ditemui pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau juga berpendapat usaha memajukan Malaysia tidak harus diletakkan sepenuhnya kepada kerajaan.
Jelasnya, rakyat juga harus sama menyumbang, bersatu-padu dan tidak lagi berpecah, bergaduh kerana politik demi melahirkan Malaysia yang lebih maju pada masa hadapan.