Kerajaan harap sokongan rakyat bina semula negara - Tun Mahathir

Madiha Abdullah
November 8, 2018 20:40 MYT
Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Poh Kong Datuk Choon Yee Seiong menunjukkan koleksi Not Emas Harapan keluaran Poh Kong. - fotoBERNAMA
Kejayaan menumpaskan kerajaan kleptokrasi sebelum ini bukanlah satu kejayaan mutlak, sebaliknya perjalanan untuk membina semula negara masih jauh dan mencabar.
Namun begitu, Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir Mohamad, mengulangi janji kerajaan Pakatan Harapan untuk tidak menghampakan rakyat dan bersedia melakukan apa sahaja demi memastikan negara kembali menjadi sebuah negara yang disegani.
"Kami akan memberikan khidmat terbaik dan kami berharap rakyat dapat bersabar jika adanya kesilapan dalam tindakan yang diambil.
"Tetapi apa sekalipun, kami telah berjanji untuk memberi komitmen untuk melaksanakan tugas yang mencabar ini. Kami berharap, rakyat akan memberikan sokongan dalam pembinaan semula negara," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran koleksi Gold Note of Hope oleh Poh Kong di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.
Not bersalut emas edisi khas itu diinspirasikan sebagai tanda peringatan dan penghargaan kepada Tun Mahathir, dan dijual di semua outlet Poh Kong, bermula hari ini.
#Gold Note of Hope #kerajaan #kleptokrasi #Mahathir Mohamad #menteri #Pakatan Harapan #Perdana Menteri #Poh Kong #rakyat
;