Kerajaan harap program MM2H dapat tarik selebriti global melabur di Malaysia
Astro Awani
Disember 17, 2023 09:30 MYT
Disember 17, 2023 09:30 MYT
IPOH: Kerajaan berharap program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang diubah suai dapat menarik selebriti global untuk melabur di negara ini, kata Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
“Kami berharap semua personaliti kaya dan terkenal seperti David Beckham, Andy Lau dan Jackie Chan akan tergoda untuk datang melabur di Malaysia.
“Kami percaya sektor hartanah akan mendapat rangsangan daripada ini,” kata Kor Ming pada sidang media, di sini semalam.
Menurut beliau, apabila sektor hartanah maju, ia akan memberi impak positif kepada banyak industri.
Pada Jumaat lalu, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Tiong King Sing melancarkan versi program MM2H yang telah diubah suai yang mempunyai tiga peringkat - Perak, Emas dan Platinum.
Kor Ming berkata, program yang dirombak itu boleh menarik kira-kira RM500 bilion dalam pelaburan.
“Dengan pelaburan dalam sektor seperti hartanah, runcit, perbankan atau hotel, ia akan membantu memacu ekonomi negara.
"Permintaan terhadap ringgit juga akan meningkat," katanya.
“Ia juga boleh mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bergaji tinggi.
"Kami mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa 2024 boleh menjadi tahun yang produktif dan positif," tambah beliau lagi.
Sementara itu, Kor Ming yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang berkata, "pasport" akan diperkenalkan yang membolehkan pelancong mengumpul setem dari 56 premis di Bandar Lama Ipoh dan memenangi hadiah.
Beliau berkata, inisiatif itu diperkenalkan untuk menggalakkan lebih ramai pelancong memandangkan kempen Tahun Melawat Perak 2024 bermula tahun depan.
“Kami mempunyai 56 lokasi di mana pelancong boleh mengumpul setem.
“Kami telah menyediakan 5,000 peta lokasi ini.
“Maklumat lanjut akan didedahkan semasa pelancaran rasmi sebelum Tahun Baharu Cina.
"Saya juga akan mengumumkan insentif, mungkin beberapa baucar untuk hotel atau diskaun," katanya.